
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – SD Guthrie Bhd mengunjurkan harga minyak sawit mentah (MSM) berpotensi mencecah sehingga RM5,000 setiap tan pada separuh kedua tahun ini, sekiranya keadaan cuaca menjadi lebih buruk sehingga mencetuskan fenomena Super El Nino.
- Harga MSM dijangka kekal menyokong bagi tempoh berbaki 2026 dengan pengeluaran dijangka kekal stabil.
- Pengeluaran pada separuh kedua 2026 dijangka meningkat susulan prestasi Julai yang baik.
- Keuntungan bersih suku kedua 2026 melonjak disokong segmen pembangunan perindustrian dan hiliran; dividen interim diumumkan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie, Mohd Haris Mohd Arshad berkata, harga MSM dijangka kekal menyokong bagi tempoh berbaki tahun ini dengan pengeluaran dijangka kekal stabil.
“Kami menjangkakan pengeluaran tahun ini akan kekal menggalakkan dan jika anda melihat prestasi pada separuh pertama kami bagi tempoh tahun ke tahun hampir tidak berubah, walaupun Malaysia sedikit terjejas.
”Namun, apa yang kami lihat di lapangan ketika ini, angka bagi Julai agak baik, jadi kami jangkakan peningkatan untuk operasi pada separuh kedua 2026,” katanya dalam sidang media keputusan kewangan suku kedua SD Guthrie.
Tambahnya, kesan fenomena El Nino dijangka mula dirasai tahun hadapan, sekali gus menyebabkan pengeluaran lebih perlahan pada 2027, namun harga yang lebih tinggi akan mengimbangi keadaan itu.
Keuntungan bersih syarikat itu melonjak kepada RM987 juta bagi suku kedua 2026 berakhir 30 Jun berbanding RM505 juta pada suku kedua 2025.
Prestasi lebih kukuh itu didorong terutamanya oleh sumbangan lebih tinggi daripada segmen pembangunan perindustrian dan hiliran, yang mengimbangi sepenuhnya penurunan pendapatan daripada segmen huluan.
Bagaimanapun, hasil menurun kepada RM4.94 bilion berbanding RM5.16 bilion sebelum ini.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, Lembaga Pengarah Guthrie mengisytiharkan dividen interim sebanyak 11.18 sen sesaham yang akan dibayar pada 4 November 2026.