Rosmah dapat penangguhan bersyarat bayaran RM67.46 juta

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor memasukkan RM67,461,027.37 ke dalam akaun bersama yang dikendalikan peguam kedua-dua pihak sebagai syarat penangguhan bayaran ganti rugi kepada syarikat barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahkamah Tinggi memberi penangguhan pelaksanaan ganti rugi sementara menunggu rayuan Rosmah, diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Marianne Antoinette Ghani melalui prosiding dalam talian.
  • Penangguhan bertujuan melindungi hak pihak pengadu dan memastikan dana kekal di Malaysia serta boleh dikembalikan jika rayuan berjaya.
  • Mahkamah sebelum ini mendapati Rosmah bertanggungjawab kehilangan 43 barang kemas dan mengarahkan beliau membayar kos RM150,000 serta menolak tuntutan indemniti terhadap PDRM.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Marianne Antoinette Ghani ketika menjalankan prosiding secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom, memberikan penangguhan pelaksanaan itu sementara menunggu rayuan Rosmah di Mahkamah Rayuan.

Menurut mahkamah, pengaturan tersebut bagi melindungi hak Global Royalty terhadap wang berkenaan sekiranya rayuan Rosmah gagal, selain memastikan dana tersebut kekal di Malaysia dan boleh dikembalikan sekiranya rayuan berjaya.

Hakim mengarahkan jumlah berkenaan dimasukkan ke dalam akaun bersama itu dalam tempoh sebulan dari tarikh keputusan.

Penangguhan itu bermakna Datin Seri Rosmah tidak perlu membayar jumlah berkenaan secara terus kepada Global Royalty sehingga rayuannya diputuskan, tertakluk kepada pematuhan terhadap syarat yang ditetapkan mahkamah.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Quay Chew Soon, memerintahkan Rosmah membayar RM67,461,027.37 kepada Global Royalty pada prosiding 10 Jun lalu, selepas mendapati beliau bertanggungjawab terhadap kehilangan 43 barang kemas.

Mahkamah turut memerintahkan Rosmah membayar kos RM150,000 serta menolak tuntutan indemniti beliau terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang dinamakan sebagai pihak ketiga.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.