TH teruskan usaha dapatkan baki award timbang tara

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan usaha mendapatkan baki award timbang tara daripada Al-Rawda selepas syarikat itu gagal mematuhi terma Perjanjian Penyelesaian yang dimeterai sebelum ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Isu pajakan empat hotel di Mekah dan Madinah (2015-2017) melibatkan bayaran pendahuluan kira-kira RM1.55 bilion.
  • Al-Rawda gagal bayar pendapatan sewa sejak Mac 2019, timbang tara 16 April 2023 mengarahkan pembayaran SAR899 juta.
  • Perjanjian Penyelesaian November 2024 dicapai; Al-Rawda bayar SAR14.9 juta kemudian langgar terma; TH tamatkan perjanjian dan lantik perunding jejak aset.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, isu itu berkaitan pajakan empat hotel di Mekah dan Madinah pada 2015 hingga 2017 melibatkan bayaran kira-kira RM1.55 bilion secara pendahuluan kepada Al-Rawda bagi tempoh pajakan antara 10 hingga 18 tahun.

Al-Rawda gagal membayar pendapatan sewa sejak Mac 2019 yang menyebabkan Tabung Haji (TH) mengambil tindakan penguatkuasaan di Arab Saudi, sebelum prosiding timbang tara pada 16 April 2023 yang memihak kepada TH dengan mengarahkan Al-Rawda membayar SAR899 juta.

“TH telah mengambil pelbagai tindakan penguatkuasaan terhadap Al-Rawda, namun syarikat itu didapati tidak berkeupayaan dari segi kewangan untuk melunaskan bayaran tersebut.

“Justeru, pada November 2024, TH dan Al-Rawda telah memeterai Perjanjian Penyelesaian sebagai usaha mendapatkan semula tuntutan berjumlah SAR899 juta itu,” katanya di Parlimen di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Bagaimanapun, Al-Rawda hanya membayar sebahagian daripada amaun dipersetujui, iaitu SAR14.9 juta sebelum gagal mematuhi terma Perjanjian Penyelesaian berkenaan.

Susulan itu, TH menamatkan perjanjian tersebut dan meneruskan usaha mendapatkan baki award timbang tara, termasuk melantik syarikat perunding yang mempunyai kepakaran dalam penjejakan aset.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.