
BIRMINGHAM, 11 Ogos – Pelari jarak jauh Norway, Jakob Ingebrigtsen terus mengukuhkan kedudukannya sebagai atlet lelaki paling berjaya dalam sejarah Kejohanan Olahraga Eropah selepas menjuarai acara 5,000 meter pada Isnin.
- Menang emas 5,000 meter, menambah koleksi pingat emas individu Eropah kepada tujuh.
- Mencatat 13:15.29, menewaskan Florian Bremm (13:15.60) dan Etienne Daguinos (13:16.09).
- Berkata kejayaan itu sangat bermakna selepas mengimpikan detik berharga sejak dua minggu lalu.
- Mengekalkan rekod tanpa kalah di Kejohanan Eropah sejak gandaan emas 1,500m dan 5,000m Berlin 2018, diulang Munich 2022 dan Rom 2024.
Kejayaan tersebut sekali gus mengumpul koleksi pingat emas individu benua yang ketujuh buat dirinya.
Atlet berusia 25 tahun itu mencatatkan masa 13 minit 15.29 saat di Stadium Alexander untuk menewaskan pelari Jerman, Florian Bremm (13:15.60) yang meraih perak, manakala wakil Perancis, Etienne Daguinos, memperoleh gangsa (13:16.09).
“Saya telah impikan detik berharga ini sejak dua minggu lalu dan kejayaan ini cukup bermakna,” ujar Ingebrigtsen.
Kemenangan berkenaan mengekalkan rekod tanpa kalah Ingebrigtsen di Kejohanan Eropah sejak beliau mencipta kejutan meraih gandaan emas 1,500m dan 5,000m di Berlin pada 2018 ketika berumur 17 tahun.
Beliau kemudian mengulangi kejayaan sama pada edisi Munich 2022 dan Rom 2024.- AFP