Tumpahan minyak mentah cemari lebih 300km persegi perairan Oman

Imej satelit menunjukkan tompokan minyak mentah berhampiran kapal tangki yang terkandas di luar pantai selatan Oman/ AFP

MUSCAT, 10 Ogos- Oman sedang berusaha menangani tumpahan minyak mentah di perairan selatan negara itu selepas sebuah kapal tangki terkandas pada Jun di kawasan marin dilindungi, menurut pihak berkuasa pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tumpahan menjejaskan kira-kira 390 kilometer persegi perairan, terutama sekitar kepulauan Hallaniyat.
  • Pihak berkuasa memantau udara, mengerahkan penyelam dan merangka pemindahan muatan untuk kurangkan risiko alam sekitar dan jamin keselamatan pelayaran.
  • NGO bimbang bencana alam sekitar; kapal dipercayai membawa kira-kira satu juta tong minyak dan sebahagian daripada armada bayangan Rusia.

Pihak Berkuasa Alam Sekitar Oman memaklumkan tumpahan itu menjejaskan kira-kira 390 kilometer (km) persegi kawasan laut terutama di sekitar kepulauan Hallaniyat.

Pihak berkuasa menjalankan pemantauan udara dan mengerahkan penyelam, selain merangka pelan untuk memindahkan muatan minyak kapal berkenaan bagi mengurangkan risiko terhadap alam sekitar dan memastikan keselamatan pelayaran.

Punca kejadian masih belum dikenal pasti.

Namun, firma pengurusan risiko maritim, Vanguard memaklumkan kapal berkenaan mengalami beberapa letupan pada awal Jun ketika belayar di luar pantai Yaman menyebabkan air memasuki beberapa bahagian kapal.

Sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Greenpeace dan PAX berkata tumpahan itu berisiko mencetuskan bencana alam sekitar dengan kapal berkenaan dipercayai membawa kira-kira satu juta tong minyak mentah.

Kapal itu dipercayai sebahagian daripada “armada bayangan” Rusia yang digunakan untuk mengelak sekatan Barat terhadap eksport minyaknya. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.