
KUANTAN, 10 Ogos – Kerajaan Negeri Pahang akan merujuk pakar bidang arborikultur sebelum mengambil tindakan menebang atau memotong pokok tua dan uzur di seluruh negeri ini.
- Perkara dibincangkan dalam mesyuarat bersama agensi berkaitan baru-baru ini.
- Kerajaan negeri tidak memandang ringan isu pokok tua dan uzur, tumpu keselamatan orang awam.
- Kenal pasti laluan berisiko dan jalan yang dibina di kawasan hutan.
- Arahan Menteri Besar adakan mesyuarat segera selepas tragedi Janda Baik yang meragut empat nyawa.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Datuk Seri Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat bersama agensi berkaitan baru-baru ini.
Katanya, kerajaan negeri tidak memandang ringan isu pokok tua dan uzur, terutama bagi mengelakkan kejadian pokok tumbang yang boleh mengancam keselamatan orang awam.
“Kerajaan negeri ini kita tak pandang mudah. Kita akan ambil tindakan sebagaimana yang telah disaran oleh Menteri Besar.
“Kita bukanlah duduk diam tetapi kita akan buat sesuai dasar yang komprehensif untuk menangani masalah kejadian yang serupa yang berlaku ini supaya dapat mengurangkan lagi kes-kes yang berlaku sebelum ini,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.
Mohammad Fakhruddin berkata, selain mendapatkan pandangan pakar, pihaknya turut mengenal pasti laluan berisiko serta jalan yang dibina di kawasan hutan.
Katanya, pengumuman rasmi mengenai langkah menangani isu itu akan dibuat selepas mendapat persetujuan mesyuarat Exco.
Sebelum ini, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengarahkan mesyuarat membabitkan Exco berkaitan dan agensi bertanggungjawab diadakan segera,
Ia bagi mencari langkah mengelakkan kejadian pokok tumbang sehingga mengorbankan nyawa daripada berulang.
Arahan itu susulan tragedi di Janda Baik, dekat Bentong, apabila empat ahli keluarga maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka dihempap pokok.