
KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Mesyuarat khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) diyakini menjadi platform ke arah pengukuhan struktur jangka panjang merangkumi aspek semak dan imbang.
- Penglibatan 35 hingga 40 ahli parlimen memfokuskan perbincangan pematuhan syariah lebih ketat dan pengurusan risiko yang telus.
- Kesilapan masa lalu mesti dinilai secara objektif untuk membaiki kelemahan sistemik, bukan sebagai modal retorik politik.
- Penemuan salah laku kewangan perlu diserahkan kepada agensi penguatkuasa bebas seperti SPRM dan melalui proses undang-undang adil.
- Kejayaan diukur dengan ketelusan, profesionalisme dan perlindungan daripada campur tangan politik bagi menjamin keselamatan amanah pendeposit.
Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mujibu Abd Muis berpandangan penglibatkan antara 35 hingga 40 ahli parlimen dalam perbahasan berkenaan menjurus kepada perbincangan pematuhan prinsip syariah yang lebih ketat serta pengurusan risiko lebih telus.
“Pada saya, kesilapan masa lalu wajib dilihat secara objektif sebagai pengajaran untuk membaiki kelemahan sistemik, bukan modal retorik politik yang tidak produktif oleh mana-mana pihak.
“Sebarang penemuan salah laku kewangan dalam laporan tersebut, harus kerajaan serahkan sepenuhnya kepada agensi penguatkuasa bebas seperti SPRM dan perlu melalui proses undang-undang yang adil,”katanya ketika dihubungi RTM.
Sementara itu, Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Sivamurugan Pandian pula berpendapat sidang khas itu bukti iltizam kerajaan dalam melaksanakan syor RCI serta mengambil tindakan tegas sekiranya wujud pelanggaran undang-undang.
“Ukuran kejayaan perbahasan itu bukan pada berapa ramai yang berucap atau siapa yang paling lantang tetapi sama ada selepas ini Tabung Haji menjadi lebih telus, profesional dan terlindung daripada campur tangan politik.
“Pendeposit tidak mahu tahu siapa yang menang dalam debat politik. Mereka mahu kepastian bahawa wang dan amanah mereka benar-benar selamat,”jelasnya.
Mesyuarat Khas Dewan Rakyat esok berlangsung sehari dimulakan dengan sesi penerangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan diikuti sesi pertanyaan dan perbahasan oleh Ahli Parlimen serta sesi penggulungan oleh Dr Zulkifli dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.