
KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Penstrukturan sebenar Lembaga Tabung Haji (TH) bukan sekadar menggantikan pengurusan atau lembaga pengarah baharu, sebaliknya memastikan setiap keputusan melibatkan wang pendeposit dibuat dengan teliti, bebas daripada kepentingan politik dan tidak dipengaruhi mana-mana individu.
- RCI dapati kelemahan tadbir urus, termasuk kuasa pelantikan, penglibatan politik dan konflik kepentingan menyumbang kepada keputusan pelaburan lemah.
- Keputusan pelaburan mesti berdasarkan profesionalisme, penilaian risiko, usaha wajar dan pemeriksaan konflik kepentingan sebelum kelulusan.
- Sebahagian besar syor RCI sedang dilaksanakan, menunjukkan usaha pemulihan berjaya dan prestasi kewangan Tabung Haji bertambah baik.
Pengarah Program MBA Putra Business School, Profesor Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpandangan, perkara itu merupakan pengajaran terpenting daripada dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
“Perubahan yang paling penting ialah memastikan keputusan Tabung Haji benar-benar dibuat berdasarkan prinsip profesionalisme dan juga kepentingan pendeposit, bukan dipengaruhi tekanan politik atau mana-mana individu lain.
“Ini kerana dapatan RCI menunjukkan masalah yang berlaku dalam tempoh 2014 hingga 2020 mempunyai dimensi tadbir urus lebih besar, antaranya isu kuasa pelantikan, penglibatan politik, konflik kepentingan serta kelemahan dalam proses membuat keputusan berkaitan pelaburan dan juga pengurusan dana,” katanya ketika dihubungi RTM.
Menurut beliau, langkah melepaskan aset yang bermasalah dan menggantikannya dengan aset yang lebih baik sahaja tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya cara membuat keputusan pelaburan masih lemah.
Jelasnya, perkara paling penting ialah memastikan setiap pelaburan dibuat selepas menilai tujuan pelaburan, risiko, usaha wajar dan kemungkinan wujudnya konflik kepentingan.
“Saya melihat punca yang lebih penting ialah bagaimana sesuatu keputusan pelaburan itu dibuat. Adakah ia melalui proses yang sangat jelas, adakah objektif pelaburan itu diketahui, adakah ia berisiko tinggi, adakah kita telah melakukan due diligence dan apabila melibatkan individu tertentu yang mempunyai kepentingan politik, adakah berlakunya konflik kepentingan?
“Dan apabila semua ini diteliti, dikaji, siapa yang meluluskannya? Itu yang paling penting kerana kita mahu lihat siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab sekiranya prestasi pelaburan itu menyimpang daripada apa yang dirancang,” katanya.
Profesor Dr. Ahmed Razma berkata, beberapa perubahan selepas tempoh yang disiasat RCI menunjukkan usaha pemulihan TH sudah membuahkan hasil.
Katanya, terdapat perubahan ketara selepas tempoh siasatan RCI apabila 25 syor dikemukakan dan lebih kurang 75% telah dilaksanakan oleh pengurusan tertinggi TH manakala bakinya masih lagi dalam proses perlaksanaan.
Menurutnya, prestasi kewangan TH pada 2025 turut menunjukkan perkembangan positif apabila pendapatan pelaburan mencecah RM4.64 bilion, aset pelaburan meningkat kepada RM96.37 bilion dan agihan keuntungan kepada pendeposit meningkat kepada 3.5 peratus, berjumlah RM3.22 bilion.