
KUALA NERUS, 9 Ogos – Peluasan penglibatan mahasiswa antarabangsa dalam program kelestarian alam sekitar dapat membuka ruang perkongsian amalan terbaik serta menghasilkan inovasi hijau.
- Memberi pendedahan luas kepada mahasiswa tempatan tentang pemeliharaan alam, pembangunan ekonomi, warisan budaya dan kesejahteraan komuniti.
- Memungkinkan pelajar mempelajari amalan kelestarian negara lain, mendorong inovasi hijau dan memperkukuh usaha penjagaan alam.
- Program dan persidangan menyediakan forum, sesi kepimpinan ESG, pembentangan serta aktiviti lapangan termasuk di Setiu Wetland.
Langkah itu turut memberi pendedahan lebih meluas kepada mahasiswa tempatan mengenai usaha pemeliharaan alam sekitar, pembangunan ekonomi, warisan budaya serta kesejahteraan komuniti.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman berkata, pendekatan tersebut membolehkan mahasiswa tempatan melihat dan mempelajari amalan kelestarian yang dilaksanakan di negara lain.
“Saya melihat program seperti ini perlu diperluaskan dengan melibatkan pelajar antarabangsa dan pelajar Malaysia. Melalui langkah ini, pelajar-pelajar tempatan dapat melihat amalan terbaik (yang dipraktikkan) di negara lain juga.
“Daripada itu, ia akan menggalakkan lebih banyak lagi inovasi. Sekali gus, memperbanyakkan usaha untuk menjaga alam sekitar, ” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Persidangan Pemimpin Muda Global Kelestarian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) 2026 di Universiti Malaysia Terengganu di sini.
Persidangan selama enam hari itu menghimpunkan 130 pemimpin mahasiswa tempatan dan antarabangsa, termasuk Majlis Perwakilan Pelajar, pemimpin persatuan mahasiswa serta pelajar yang terlibat dalam projek kelestarian.
Program bertemakan “Memperkasa Pemimpin Muda sebagai Pemangkin Keadilan Biru” itu turut memberi pendedahan kepada peserta menerusi forum, sesi kepimpinan ESG, pembentangan serta aktiviti lapangan di Setiu Wetland.