
IPOH, 8 Ogos – Video tular di media sosial berhubung tingkah laku Amoi yang dilihat menggigit jaring makanan (hay net) di Zoo Tennoji, Osaka tidak boleh ditafsirkan secara langsung sebagai petanda tekanan, kebuluran atau kebajikan haiwan itu terjejas.
- Jaring makanan ialah peralatan environmental enrichment untuk galakkan gajah mencari dan manipulasi makanan seperti tingkah laku semula jadi.
- Menggigit atau menarik jaring merupakan interaksi biasa gajah; penjaga sentiasa memantau keselamatan dan penggunaan peralatan tersebut.
- Ketiga tiga gajah dilaporkan sihat, aktif, menunjukkan selera makan dan tingkah laku yang baik serta dipantau pegawai veterinar.
- Zoo Tennoji mempertingkat langkah kebajikan semasa cuaca panas; orang ramai disaran tidak membuat kesimpulan daripada rakaman singkat.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Mohamed Akmal Dahalan dalam kenyataan memaklumkan, jaring makanan tersebut merupakan salah satu peralatan environmental enrichment yang digunakan secara meluas di zoo dan pusat pemuliharaan hidupan liar di seluruh dunia.
“Kaedah ini direka bagi menggalakkan gajah mencari, menarik dan memanipulasi makanan seperti mana tingkah laku semula jadi mereka di habitat liar.
“Aktiviti tersebut membantu memanjangkan tempoh makan, merangsang aktiviti fizikal dan mental serta mengurangkan kebosanan, sekali gus menyokong kebajikan haiwan.
“Dalam kalangan gajah, adalah perkara biasa untuk haiwan menggunakan belalai, gading atau mulut bagi menarik, menggigit atau memanipulasi peralatan enrichment ketika mendapatkan makanan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu tingkah laku Amoi dalam video yang tular merupakan sebahagian daripada interaksi dengan peralatan tersebut dan sentiasa dipantau oleh penjaga haiwan bagi memastikan ia selamat digunakan.
Bagaimanapun ketiga-tiga ekor gajah Asia Malaysia iaitu Kelat, Dara dan Amoi yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji berada dalam keadaan sihat, aktif dan terus dipantau secara berkala oleh pasukan penjaga haiwan serta pegawai veterinar zoo berkenaan.
“Berdasarkan laporan terkini yang diterima, ketiga-tiga gajah menunjukkan perkembangan yang baik dari segi kesihatan, selera makan, tingkah laku dan penyesuaian terhadap persekitaran baharu,” tambah kenyataan itu.
Susulan Jepun kini sedang mengalami musim panas dengan suhu yang tinggi, Zoo Tennoji telah mempertingkatkan langkah-langkah pengurusan kebajikan dengan menyediakan kawasan teduhan yang mencukupi, kolam mandi dan kawasan berlumpur.
“Ia membolehkan gajah menyejukkan badan secara semula jadi, semburan air secara berkala, bekalan air minuman yang sentiasa mencukupi serta pemantauan kesihatan yang lebih kerap oleh pasukan penjaga haiwan dan pegawai veterinar.
“Rutin harian serta jadual pemberian makanan juga disesuaikan mengikut keadaan cuaca bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan ketiga-tiga gajah sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.
MPT sentiasa berhubung rapat dengan pihak Zoo Tennoji dan menerima laporan berkala mengenai keadaan ketiga-tiga gajah tersebut.
Kerjasama itu bagi memastikan setiap aspek kesihatan, kebajikan, pemakanan dan pengurusan haiwan sentiasa memenuhi standard yang dipersetujui menerusi program kerjasama antara kedua-dua pihak.
Bagaimanapun, orang ramai disaran agar tidak membuat kesimpulan berdasarkan rakaman video yang singkat atau tidak mempunyai konteks penuh.
Sebarang maklumat berkaitan keadaan ketiga-tiga gajah akan terus disalurkan berdasarkan laporan rasmi daripada pihak Tennoji Zoo dan hasil pemantauan berterusan kedua-dua pihak.