
PELABUHAN KLANG, 8 Ogos – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas A ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas didapati melanggar syarat sah lesen dengan menggunakan pukat tunda bagi aktiviti menangkap ikan, awal pagi tadi.
- Vesel ditahan kira-kira 0.5 batu nautika selatan Kuala Selangor semasa menjalankan aktiviti menangkap ikan.
- Tekong warga tempatan berusia 42 tahun dan seorang kru warga Indonesia berusia 30 tahun ditemui di atas vesel.
- Kru asing gagal kemukakan dokumen pengenalan diri dan permit kerja; kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.55 pagi itu, vesel berkenaan ditahan pada kedudukan kira-kira 0.5 batu nautika selatan Kuala Selangor ketika sedang menjalankan aktiviti penangkapan ikan.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan dibuat bot Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan menerusi Op Ehsan, Op Tiris dan Op Khas Tanjung.
Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 42 tahun bersama seorang kru warga Indonesia berusia 30 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kru warga asing berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurutnya, vesel berkenaan turut melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dengan menggunakan pukat tunda.
Vesel bersama tekong dan kru yang ditahan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dan menggajikan kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Kes turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana kru warga asing berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Maritim Malaysia menegaskan pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan di perairan negara, khususnya Selangor, bagi memastikan keselamatan, ketenteraman serta kelestarian sumber marin terus terpelihara.