Operasi tren laluan Kulai–JB Sentral kembali beroperasi

Keadaan struktur konkrit (parapet) yang runtuh dan menghempap Alat Talian Atas (ATA) di kedua-dua landasan arah utara dan selatan masih belum dipulihkan, sekali gus menjejaskan operasi tren antara Stesen Kulai dan Stesen Kempas Baru susulan insiden sebuah lori terbabas di Kulai malam tadi/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Operasi tren bagi laluan Kulai–Kempas Baru–JB Sentral kembali beroperasi kira-kira pukul 7.33 malam tadi susulan insiden sebuah lori terbabas di atas jambatan di antara Kulai dan Kempas Baru.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi tren laluan Kulai, Kempas Baru dan JB Sentral disambung semula sekitar 7.33 malam.
  • Beberapa perkhidmatan masih mengalami kelewatan sehingga 140 minit akibat gangguan operasi.
  • KTMB menyusun semula jadual, memantau pergerakan tren dan menasihatkan penumpang mengikuti saluran rasmi.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan memaklumkan, pasukan teknikal bersama agensi berkaitan telah melaksanakan kerja-kerja pengalihan struktur konkrit yang terkena Alat Talian Atas (ATA), diikuti pemeriksaan serta pemulihan terhadap infrastruktur landasan dan sistem bekalan elektrik di lokasi kejadian.

“Kerja-kerja pengalihan, pemeriksaan serta pemulihan yang melibatkan infrastruktur landasan dan Alat Talian Atas (ATA) telah selesai dilaksanakan.

“Laluan berkenaan turut disahkan selamat untuk pergerakan tren sebelum operasi disambung semula secara berperingkat,” menurut keyataan itu.

Bagaimanapun beberapa perkhidmatan tren yang telah dijadualkan masih mengalami kelewatan sehingga 140 minit berikutan kesan gangguan operasi yang berlaku sebelum ini.

KTMB juga sedang menyusun semula pergerakan tren bagi menstabilkan keseluruhan jadual perkhidmatan dan akan terus memantau pergerakan tren sehingga operasi kembali stabil.

Terdahulu, sebuah lori yang membawa bahan mudah terbakar dilaporkan terbabas di atas jambatan antara Kulai-Kempas Baru.

Akibat kejadian tersebut, cecair daripada muatan lori berkenaan telah menitis dan terkena ATA berhampiran landasan kereta api.

“Ia turut menyebabkan struktur konkrit di lokasi jatuh dan menyentuh ATA pada kedua-dua landasan naik dan turun, sekali gus menyebabkan bekalan elektrik di laluan terlibat gagal ditenagakan semula,” tambah kenyataan itu.

Berikutan itu, perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan Shuttle Selatan bagi laluan Kulai-Kempas Baru-JB Sentral mengalami kelewatan.

Penumpang dinasihatkan supaya mengikuti perkembangan terkini menerusi saluran rasmi KTMB dari semasa ke semasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.