
KUALA LUMPUR, 5 Ogos– Cadangan mengenakan levi ke atas kenderaan elektrik (EV) kini diperhalusi bertujuan memastikan mekanisme pelaksanaan secara berkesan.
- Cadangan levi atas EV sedang diperhalusi untuk memastikan mekanisme pelaksanaan berkesan sebelum dibawa ke Kabinet.
- Pendekatan bertujuan memastikan pertambahan penggunaan EV disokong oleh pembangunan infrastruktur pengecas yang mencukupi.
- Terdapat kekangan pemasangan pengecas di kediaman bertingkat seperti PPR dan beberapa kondominium perlu diselesaikan.
- Kerajaan menilai kos penyediaan infrastruktur; caj tidak boleh membebankan rakyat jika dipindahkan kepada pengguna.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika menyatakan komitmen itu menjelaskan pendekatan itu berupaya memastikan pertambahan penggunaan EV, seiring pembangunan infrastruktur pengecas yang mencukupi.
“Belum ada sebarang tempoh ditetapkan kerana perkara itu belum dibawa ke Kabinet.
“Saya hanya mengemukakan idea tersebut supaya ianya dapat diteliti lebih awal dan pengguna EV tidak berdepan kebimbangan kehabisan bateri akibat kekurangan kemudahan pengecas awam,” katanya kepada media di luar persidangan RHB Progress Series 2026 anjuran RHB Bank Bhd.
Datuk Seri Johari turut memaklumkan, masih terdapat kekangan pemasangan pengecas EV di kediaman bertingkat seperti di Program Perumahan Rakyat (PPR) dan sebahagian kondominium.
Kerajaan juga perlu mengambil kira kos penyediaan infrastruktur berkenaan, memandangkan bekalan elektrik negara masih bergantung kepada gas dan arang batu, selain keadaan kedudukan fiskal negara.
“Kita sedang meneliti mekanisme yang sesuai. Jika kos itu dikenakan kepada pengeluar, ia akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna dan pendekatan yang diambil perlu adil serta tidak membebankan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut meneliti amalan yang dilaksanakan di beberapa negara lain sebelum memuktamadkan sebarang mekanisme berkaitan cadangan tersebut.
“Kenderaan elektrik penting dan perlu berkembang seiring dengan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE).
“Namun, pembangunan infrastruktur pengecas mesti bergerak seiring supaya pengguna tidak berdepan kesukaran pada masa hadapan,”jelasnya.