JPS perjelas peranan, pengurusan sektor air libatkan pelbagai agensi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjelaskan bukan semua isu berkaitan air berada di bawah tanggungjawab jabatan itu kerana pengurusan sektor berkenaan melibatkan pelbagai agensi mengikut bidang kuasa masing-masing.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPS fokus perancangan, pembangunan, operasi dan penyerahan infrastruktur: tebatan banjir, pengurusan lembangan sungai, hakisan pantai dan pengurusan sumber air negara
  • Bekalan air, pembetungan dan kawalan pencemaran di bawah bidang kuasa agensi lain dengan fungsi tersendiri
  • Kerajaan galak pendekatan bersepadu: pemantauan teknologi pintar, penguatkuasaan tegas dan kerjasama kementerian serta agensi bagi memulihkan kualiti sungai

Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Bisnes) JPS, Ir. Hanizan Deraman berkata, peranan JPS lebih tertumpu kepada aspek perancangan, pembangunan, pengoperasian dan penyerahan infrastruktur berkaitan tebatan banjir, pengurusan lembangan sungai, hakisan pantai serta pengurusan sumber air negara.

Menurut beliau, urusan berkaitan bekalan air, pembetungan dan kawalan pencemaran pula berada di bawah bidang kuasa agensi lain yang mempunyai fungsi masing-masing.

“JPS ini bukan salah satu agensi yang melibatkan di bawah air. Tapi bukan semua tanggungjawab yang melibatkan dengan air terletak di bawah tanggungjawab JPS. Kita ada melibatkan banyak jabatan lagi.

“Jadi tugas JPS ini merangkumi dari segi perancangan, pembangunan, pengoperasian dan penyerahan yang melibatkan infrastruktur terutamanya tebatan banjir, lembangan sungai, hakisan pantai di samping pengurusan sumber air negara,” katanya ketika menjadi tetamu program Nasional FM.

Penjelasan itu dibuat ketika isu pengurusan air terus menjadi perhatian susulan beberapa insiden pencemaran sungai dan gangguan bekalan air yang memerlukan tindakan bersepadu pelbagai agensi berkaitan.

Dalam usaha memperkukuh pengurusan sumber air negara, kerajaan sebelum ini turut mengumumkan langkah memperhebat usaha menangani kemerosotan kualiti air sungai menerusi pendekatan lebih proaktif, termasuk pemantauan menggunakan teknologi pintar, penguatkuasaan yang lebih tegas serta kerjasama antara kementerian dan agensi berkaitan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.