
KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Seorang lelaki warga Malaysia berusia 22 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup hampir satu kilogram syabu dan lebih 1,000 pil ekstasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya.
- Pengarah JSJN Bukit Aman mengesahkan suspek ditahan selepas tiba dari KLIA melalui penerbangan Batik Air.
- Pemeriksaan menemui bungkusan dadah yang dibalut dan dilekatkan pada badan suspek.
- Beliau tiada rekod jenayah; dipercayai jadi keldai dadah kerana masalah kewangan, kes disiasat mengikut undang-undang Indonesia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan, suspek yang berasal dari Johor itu ditahan sejurus tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 melalui penerbangan Batik Air.
Menurut portal berita Jakarta Globe, pemeriksaan terhadap suspek menemukan empat bungkusan mengandungi kira-kira satu kilogram syabu dan empat bungkusan lain mengandungi 1,089 pil ekstasi atau MDMA.
Kesemua dadah berkenaan dipercayai dibalut dan dilekatkan pada badan suspek.
Semakan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Siasatan awal pihak berkuasa Indonesia mendapati suspek dipercayai bersetuju menjadi keldai dadah bagi sindiket pengedaran dadah antarabangsa kerana berdepan masalah kewangan dan beban hutang.
Kes kini disiasat mengikut undang-undang berkaitan penyalahgunaan dan penyeludupan dadah di Indonesia.