
ANGKASAPURI KOTA MEDIA, 4 Ogos – Melaka buat julung kali bakal menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2026 peringkat kebangsaan dengan sasaran kehadiran 100,000 pengunjung yang dijadual berlangsung bermula 6 Ogos ini di Stadium Hang Jebat.
- Penganjuran bertujuan memberi pendedahan dan mendidik masyarakat sekolah hingga universiti mengenai agenda bandar hijau.
- Perdana Menteri dijadual merasmikan acara; program termasuk forum perdana, konsert rakyat, pameran, pertandingan landskap dan aktiviti komuniti.
- Tema Landskap Lestari Malaysia MADANI menyokong Melakaku Maju Jaya 2035 menuju bandar rendah karbon dan menekankan landskap berkualiti berdaya tahan.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata penganjuran HLN 2026 bertujuan memberi pendedahan serta mendidik masyarakat dari peringkat sekolah hingga universiti mengenai agenda bandar hijau.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan program pada 7 Ogos, selain pelbagai program dan aktiviti lain turut dianjurkan seperti forum perdana, konsert rakyat, pameran, pertandingan landskap dan aktiviti komuniti.
“HLN 2026 turut menyokong aspirasi Melakaku Maju Jaya 2035 ke arah menjadikan negeri itu sebagai bandar rendah karbon,” katanya.
HLN 2026 yang akan berlangsung bermula 6 hingga 9 Ogos ini dengan tema ‘Landskap Lestari Malaysia MADANI’.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Mansor Mohamad tema itu dipilih selaras dengan usaha mewujudkan kawasan hijau yang berkualiti dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim.
“Kita juga melihat tema ini mengangkat kepentingan landskap bukan hanya untuk tujuan pengindahan tapi ia memperkukuh perkembangan ekonomi sosial dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, sambutan kali ke-27 itu turut akan mencipta kelainan apabila majlis perasmian diadakan pada waktu malam buat kali pertama, selain disasarkan mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi penghasilan perabot terbesar menggunakan kayu terpakai.