
KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Malaysia perlu mempercepat usaha peralihan kepada tenaga boleh baharu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil import.
- Ketidaktentuan geopolitik menjejaskan keselamatan bekalan tenaga; perlu manfaatkan sumber domestik, terutamanya tenaga solar yang berpotensi besar.
- Malaysia sebagai pengeluar utama panel solar fotovoltaik mempunyai kelebihan untuk mempercepat peralihan tenaga boleh baharu.
- Peralihan tenaga mesti disokong dasar berkesan dan diselaraskan agar kepentingan tertentu tidak menghalang pengembangan tenaga boleh baharu.
Penasihat Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram berkata usaha itu penting ekoran ketidaktentuan geopolitik ketika ini yang menjejaskan keselamatan bekalan tenaga negara.
Tambah beliau, perkembangan di Selat Hormuz menunjukkan Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada sumber tenaga yang diimport sebaliknya perlu memanfaatkan sumber domestik termasuk tenaga solar yang mempunyai potensi besar.
“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada sumber-sumber penjanaan elektrik yang diimport. Kita mesti menggunakan sumber dalam negara termasuk cahaya suria yang tidak ada siapa yang boleh mengambilnya.
“Jadi, kalau kita menggunakan lebih banyak panel solar, kita tidak perlu mengimport bahan petroleum atau gas dalam jumlah yang begitu banyak,” katanya.
Mengulas lanjut katanya Malaysia sebagai antara negara pengeluar utama panel solar fotovoltaik dunia mempunyai kelebihan untuk mempercepat usaha peralihan tenaga boleh baharu.
“Peralihan tenaga tidak seharusnya hanya tertumpu kepada penetapan sasaran tetapi perlu turut disokong dengan dasar yang dilaksanakan secara berkesan serta diselaras dengan dasar-dasar lain.
“Pelaksanaan dasar yang berkesan penting bagi memastikan usaha memperluas penggunaan tenaga boleh baharu tidak terhalang oleh kepentingan pihak tertentu,” jelasnya lagi.
Beliau berkata demikian selepas sesi panel Transitioning Away from Fossil Fuels sempena National Climate Governance Summit (NCGS) 2026, di sini.
Sesi panel membincangkan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam mempercepat peralihan tenaga boleh baharu.
NCGS 2026 berlangsung selama lima hari bermula 3 hingga 7 Ogos yang menghimpunkan penggubal dasar, pemain industri dan masyarakat sivil.