
BATU PAHAT, 4 Ogos – Polis menahan tiga lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang lelaki yang dibungkus dan dililit dengan jaring di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja, di sini, dengan motif pembunuhan dipercayai berkaitan hutang.
- Dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
- Isteri mangsa melaporkan kehilangan pada 29 Julai; kes sebelum ini diklasifikasikan sebagai orang hilang.
- Semua suspek direman tujuh hari sehingga 10 Ogos dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketiga-tiga suspek berusia antara 26 hingga 40 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Batu Pahat pada Isnin, beberapa jam selepas mayat mangsa ditemukan.
Timbalan Ketua Polis Johor, DCP Hoo Chuan Huat berkata, dua daripada tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Katanya, Polis Kontinjen Johor menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu kira-kira jam 12.30 tengah hari pada Selasa sebelum laporan polis dibuat.
“Hasil siasatan mendapati tangan dan kaki mangsa diikat menggunakan pita pelekat, manakala terdapat beberapa kesan kecederaan pada bahagian pinggang dan lengan.
Mayat mangsa turut dibungkus dan dililit dengan jaring sebelum dibuang ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Terdahulu beliau berkata, semakan lanjut mendapati, seorang wanita tempatan telah membuat laporan polis pada 29 Julai lalu, kira-kira jam 10.09 malam, mengenai kehilangan suaminya di Mutiara Rini, Iskandar Puteri.
Katanya, kes kehilangan itu sebelum ini diklasifikasikan sebagai kes orang hilang.
“Hasil pengecaman awal oleh waris terdekat mendapati mayat yang ditemukan dipercayai adalah individu yang dilaporkan hilang berdasarkan pakaian serta barangan milik mangsa yang ditemui bersama mayat,” katanya.
Katanya, semua suspek telah direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 10 Ogos bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes diminta menyalurkannya kepada balai polis berhampiran atau menghubungi Hotline Polis Johor di 019-2792095 atau Bilik Gerakan IPK Johor di talian 07-2212999.