Protokol keselamatan KLIA diperkukuh, sekat dadah lolos

Beberapa sindiket dadah dilumpuhkan melalui Ops Kali Dasar dan Ops Khas KLIA melibatkan rampasan keseluruhan lebih RM42 juta/ Foto RTM

SHAH ALAM, 4 Ogos – Protokol keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan diperkukuh susulan peningkatan ketara kes penyeludupan dadah yang dikesan di pintu masuk utama negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mesyuarat bersama Kementerian Pengangkutan, pengurusan lapangan terbang dan agensi penguat kuasa bersetuju langkah keselamatan baharu di KLIA.
  • Pengesanan dadah kini diberi keutamaan setara dengan ancaman penyeludupan senjata api dan barangan terlarang.
  • Permintaan bunga ganja di Eropah dan kedudukan KLIA sebagai hab menjadikan lapangan terbang tumpuan sindiket.
  • JSJN melalui Ops Kali Dasar dan Ops Khas KLIA merampas dadah bernilai lebih RM42 juta, menahan pelbagai suspek.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, langkah itu dipersetujui dalam mesyuarat bersama yang diadakan pada Isnin melibatkan Kementerian Pengangkutan, pengurusan lapangan terbang serta agensi penguat kuasa berkaitan.

Menurut beliau, aspek pengesanan dadah kini akan diberi keutamaan setara dengan ancaman penyeludupan senjata api dan barangan larangan lain dalam prosedur keselamatan di KLIA.

“Kita melihat ada keperluan untuk meningkatkan tahap keselamatan ke atas penumpang dan juga barangan di KLIA. Sebelum ini keutamaan lebih tertumpu kepada penyeludupan senjata api dan barangan terlarang, namun kini dadah turut dijadikan antara keutamaan dalam tahap keselamatan dan akan dilaksanakan oleh semua agensi berkaitan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini.

Datuk Hussein berkata peningkatan permintaan terhadap bunga ganja di pasaran Eropah serta kedudukan KLIA sebagai hab penerbangan antarabangsa antara faktor utama lapangan terbang itu menjadi sasaran sindiket penyeludupan dadah.

“Permintaan terhadap bunga ganja meningkat di Eropah. Pada masa sama, KLIA menjadi hab yang digunakan untuk penyeludupan dadah dan atas faktor itu ia menjadi pilihan sindiket,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan penerbangan dari KLIA berkemungkinan kurang diberi perhatian oleh pihak berkuasa di beberapa destinasi antarabangsa berbanding penerbangan dari lapangan terbang lain, sekali gus dipercayai menjadi antara faktor sindiket memilih KLIA sebagai laluan transit.

Dalam perkembangan berkaitan, JSJN berjaya melumpuhkan beberapa sindiket melalui Ops Kali Dasar dan Ops Khas KLIA dengan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM42 juta.

“Menerusi Ops Kali Dasar, polis menahan dua lelaki tempatan serta merampas 410 kilogram (kg) syabu dan 900 kartrij vape mengandungi cecair MDMA bernilai RM20.74 juta,” jelasnya.

Sementara itu, Ops Khas KLIA menyaksikan 13 individu ditahan membabitkan sembilan kes dengan rampasan 260kg bunga ganja dan satu kilogram kokain bernilai RM21.26 juta.

“Statistik JSJN turut menunjukkan penguatkuasaan di KLIA terus dipertingkat apabila 108 kes direkodkan bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini berbanding 54 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Dalam tempoh sama, jumlah rampasan dadah meningkat hampir enam kali ganda kepada kira-kira 1.3 tan, dengan nilai keseluruhan mencecah RM108 juta,” tambah beliau lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.