Seludup dadah ke Jakarta: Rakan subahat juruterbang dikenal pasti

Foto RTM

SHAH ALAM, 4 Ogos Polis mengenal pasti seorang individu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes juruterbang warga Malaysia yang disyaki menyeludup dadah ke Indonesia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.

RINGKASAN BERITA AI
  • JSJN meneliti prosedur dan kawalan keselamatan di pintu masuk lapangan terbang untuk kenal pasti kelemahan dieksploitasi sindiket.
  • Suspek dipercayai mengambil bekalan dadah di sebuah apartmen di Ampang sebelum membawanya ke KLIA untuk penerbangan ke Indonesia.
  • Polis memperoleh nombor telefon perhubungan; siasatan lanjut dan tindakan akan dijalankan berdasarkan bukti diperoleh.
  • Menunggu maklum balas POLRI sebelum menghantar pegawai; pemeriksaan Indonesia rampas kira-kira 70,114 kapsul bernilai anggaran RM45 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata individu berkenaan akan dipanggil untuk dirakam percakapan.

“Tindakan lanjut termasuk penahanan akan dibuat sekiranya siasatan menemukan bukti penglibatan,” tegasnya.

Beliau berkata, polis turut meneliti prosedur serta kawalan keselamatan di pintu masuk lapangan terbang bagi mengenal pasti sama ada terdapat kelemahan yang boleh dieksploitasi sindiket penyeludupan dadah.

“Setakat ini, kita sudah mengenal pasti seorang individu. Kita akan panggil untuk soal siasat dan jika ada keperluan, kita akan membuat tangkapan termasuk kakitangan lapangan terbang yang terlibat dalam proses saringan,” katanya pada sidang media kejayaan JSJN Selangor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengambil bekalan dadah di sebuah apartmen di Ampang sebelum membawanya ke KLIA untuk diterbangkan ke Indonesia.

“Kita mengesan suspek mengambil bekalan di sebuah apartmen di Ampang. Kita juga telah memperoleh nombor telefon yang dihubungi dan perkara itu kini dalam tindakan pihak polis,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata JSJN sedang menunggu maklum balas daripada Polis Republik Indonesia (POLRI) sebelum menghantar pegawai ke negara itu bagi membantu proses siasatan dan soal siasat.

Sebelum ini, media melaporkan seorang juruterbang warga Malaysia berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah.

Menurut POLRI, pemeriksaan menemukan 15 bungkusan mengandungi 70,114 kapsul ekstasi dan syabu yang dianggarkan bernilai sekitar RM45 juta mengikut harga pasaran Indonesia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.