Martabatkan bahasa kebangsaan, lambang identiti negara

Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Hazami Jahari

BANGI, 1 Ogos – Generasi muda perlu terus dipupuk dengan semangat mencintai dan memartabatkan bahasa Melayu kerana bahasa kebangsaan merupakan roh kepada kemerdekaan serta identiti sesebuah negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Terus memperkukuh kecintaan generasi muda terhadap bahasa Melayu walaupun penggunaan dalam kalangan pelajar kini berada pada tahap baik.
  • Hadapi cabaran era digital seperti bahasa rojak dan kandungan media sosial yang tidak menepati tatabahasa.
  • DBP mempergiat program dan menghasilkan kandungan pantun, peribahasa serta bekerjasama dengan media penyiaran memartabatkan bahasa kebangsaan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Hazami Jahari berkata, meskipun penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar dan golongan muda ketika ini berada pada tahap yang baik, namun usaha memperkukuh kecintaan terhadap bahasa kebangsaan perlu diteruskan secara berterusan.

“Kemerdekaan sesebuah negara tidak akan dapat lengkap atau sempurna hanya dengan melihat kepada kemerdekaan dari segi fizikal, tetapi semangat dan roh itu datangnya dari bahasa kebangsaan kita. Di situlah akar kita,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Program Kembara Bahasa Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 di Stesen Komuter UKM di sini, hari ini.

Menurut beliau, program hasil sinergi antara DBP dengan Kementerian Komunikasi, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan NaRES itu bertujuan menyemarakkan semangat patriotik, di samping memperkukuh kecintaan terhadap bahasa Melayu.

Mengulas mengenai cabaran era digital, Datuk Dr. Hazami berkata, penggunaan bahasa rojak dan kandungan media sosial yang tidak menepati tatabahasa menjadi antara cabaran utama dalam memastikan generasi muda menguasai bahasa Melayu yang baik dan betul.

“Cabarannya ialah bagaimana kita nak memberitahu generasi muda bagaimana mereka sepatutnya bertutur dan menggunakan bahasa yang baik dan betul,” katanya.

DBP akan terus mempergiat program kesedaran serta memperbanyak kandungan yang mempromosikan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul, termasuk melalui pantun, peribahasa dan pelbagai bahan bahasa, di samping mengharapkan kerjasama media penyiaran dalam memperluas kandungan yang memartabatkan bahasa kebangsaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.