Kejohanan Badminton Dunia 2026: Kem perseorangan negara sedia cipta kejutan

Kenneth Jonassen. Foto/Bernama

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Kem perseorangan badminton negara berada pada landasan tepat menjelang Kejohanan Dunia 2026 di New Delhi, India, susulan prestasi memberangsangkan dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyertaan Terbuka Jepun dan China digunakan untuk kenal pasti aspek teknik dan taktikal yang perlu diperbaiki sebelum kejohanan.
  • Barisan jurulatih lapor persediaan baik, pengurusan emosi, kecergasan dan pelan permainan jelas memberi keyakinan kepada pemain.
  • Leong Jun Hao menunjukkan perkembangan positif dalam pelaksanaan pelan permainan dan kemampuan membaca corak lawan.

Pengarah kejurulatihan perseorangan negara Kenneth Jonassen berkata, penyertaan di Terbuka Jepun dan China baru-baru ini merupakan sebahagian daripada persiapan penting menjelang kejohanan itu, selain memberi peluang kepada pemain serta barisan kejurulatihan mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki sebelum saingan pada 17 hingga 23 Ogos ini bermula.

“Ada pemain yang mempamerkan prestasi baik, namun tujuan utama penyertaan dalam dua kejohanan itu adalah untuk mengenal pasti aspek yang perlu diberi penekanan dalam latihan menjelang Kejohanan Dunia.

“Secara keseluruhannya, saya percaya kami berada pada tahap persediaan terbaik, dengan mental yang positif kerana ada perkembangan memberangsakan selain petunjuk bahawa pemain mampu mengawal emosi, tahap kecergasan baik dan pelan permainan yang jelas,” katanya.

Menurut jurulatih dari Denmark itu, perseorangan utama negara Leong Jun Hao semakin menunjukkan perkembangan positif meskipun tersingkir awal pada Terbuka Jepun dan China.

Jonassen berkata pemain berusia 26 tahun itu menunjukkan petanda positif, khususnya dari segi pelaksanaan pelan permainan serta keupayaan membaca corak permainan lawan dengan lebih baik.

“Keyakinan menjadi antara faktor penting, iaitu mempercayai kemampuan sendiri serta berupaya melaksanakan setiap pukulan dan perancangan dengan berkesan.

“Selain itu, yang lebih penting ialah memahami apa yang cuba dilakukan lawan dan saya fikir dia berjaya memanfaatkan peluang yang ada,” katanya. – Bernama

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.