
ULASAN BERITA
- Bezakan persepsi dan prestasi; nilai hasil sebenar dengan data dan dokumen rasmi sebelum membuat keputusan.
- Media dan media sosial membentuk tanggapan; semak sumber, sahkan kebenaran, elak menyebar maklumat tidak disahkan.
- Pengundi perlu matang: semak dakwaan kerajaan, pembangkang dan pempengaruh; jangan buat keputusan berdasarkan sentimen semata.
Dalam pilihan raya, adakah kita menilai prestasi sebenar atau sekadar mempercayai persepsi semata-mata?
Persepsi ialah tanggapan yang terbentuk apabila seseorang menerima dan mentafsir maklumat.
Persepsi tidak semestinya palsu. Ia mungkin berasaskan fakta, tetapi fakta itu boleh dipilih, disusun atau diberi penekanan tertentu sehingga menghasilkan gambaran yang tidak lengkap.
Dalam pentas demokrasi, pembentukan persepsi menjadi sebahagian daripada persaingan politik.
Kerajaan mahu dilihat berjaya. Pembangkang mahu meyakinkan rakyat mengenai wujudnya kelemahan.
Calon pula mahu tampil sebagai individu paling berkebolehan. Itulah sifat kempen.
Namun, usaha meraih sokongan tetap ada batasnya. Fakta tidak sepatutnya diputar belit.
Konteks tidak wajar disembunyikan dan kebimbangan rakyat, tidak boleh dimanipulasikan, hanya demi keuntungan politik. Matlamat tidak menghalalkan cara.
Kajian penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengenai politik persepsi mendapati, kefahaman pengundi banyak dibentuk melalui laporan media dan kandungan diterima.
Oleh itu, realiti yang dipersepsikan melalui media tidak semestinya menggambarkan keseluruhan realiti sebenar. Sebab itulah, isu yang tular belum tentu betul dan isu yang kurang tular pun, belum tentu tidak benar.
Persoalan penting kepada pengundi, adakah persepsi yang sedang dibentuk itu sepadan dengan prestasi yang boleh dibuktikan?
Prestasi merujuk kepada hasil yang boleh dinilai seperti pembangunan dan pelaburan. Persepsi terhadap prestasi pula ialah tanggapan rakyat mengenai hasil tersebut.
Kajian sarjana Universiti Teknologi Mara (UiTM) mendapati, prestasi ekonomi merupakan faktor paling berpengaruh dalam membentuk penilaian responden terhadap kerajaan negeri.
Ini menunjukkan bahawa pembangunan dan ekonomi memang boleh menjadi asas kepada persepsi politik.
Namun, persepsi tersebut masih perlu dibandingkan dengan data dan realiti sebenar.
Ambil contoh isu Pelabuhan Pintar di Port Dickson.
Timbul dakwaan kononnya projek itu akan melibatkan pengambilan tanah penduduk, termasuk kampung, tanah adat dan hutan simpan.
Dakwaan sebegini mudah membentuk persepsi umum kerana menyentuh isu sensitif seperti hak milik, alam sekitar dan mata pencarian.
Kerajaan Negeri Sembilan menafikannya.
Projek itu sebenarnya akan dibangunkan atas tanah milik Tanco Holdings dan anak syarikatnya, melibatkan kira-kira 202 hektar, bukan 566 hektar seperti didakwa.
Dalam keadaan ini, pengundi tidak wajar menerima dakwaan tular hanya kerana ia membangkitkan emosi.
Namun, penafian kerajaan juga perlu disemak melalui dokumen rasmi yang berkaitan.
Pengundi juga perlu membezakan projek Pelabuhan Pintar daripada pembangunan lain di kawasan berhampiran.
Percampuran lokasi, keluasan dan nama projek boleh menghasilkan tanggapan yang mengelirukan.
Di sinilah kematangan pengundi menjadi sangat penting. Apatah lagi pengundi kini tidak membuat keputusan dalam ruang yang kosong.
Pilihan mereka dipengaruhi banyak faktor lain antaranya pengalaman, keluarga, media, parti dan tokoh yang dipercayai.
Kematangan bermula apabila seseorang menyedari pengaruh tersebut, tetapi tidak menyerahkan keputusan sepenuhnya kepada mana-mana pihak.
Penyokong tegar masih perlu menyemak kenyataan parti yang disokong.
Pengundi atas pagar pula tidak seharusnya membiarkan sentimen saat akhir atau kandungan tular menentukan pilihan mereka.
Keperluan itu semakin penting dalam ruang digital.
UNESCO menjelaskan, media sosial mempercepat aliran maklumat dan membuka ruang kepada semakan.
Namun, maklumat salah turut tersebar dengan pantas sehingga dapat menjejaskan akses kepada maklumat yang boleh dipercayai.
Banyak maklumat, tidak semestinya menghasilkan banyak pengetahuan.
Fakta, pandangan, promosi dan kepalsuan boleh muncul dalam bentuk yang hampir sama.
Sebab itu, tanyakan… Apakah sumber asalnya? Bolehkah maklumat itu disahkan? Adakah ia fakta, tafsiran atau sekadar dakwaan?
Kaedah yang sama perlu digunakan bukan sahaja kepada kerajaan, malah pembangkang, media dan pempengaruh.
Jangan menerima bulat-bulat. Jangan juga menolak bulat-bulat.
Dalam pilihan raya, persepsi mungkin menjadi titik mula. Tetapi bukti dan realiti mesti menentukan keputusan akhir.
Mengundi ialah hak. Namun, menilai realiti di sebalik persepsi ialah tanggungjawab.
Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Andy Reza Rohadian.