
PENGERANG, 26 Ogos – Kebakaran terbuka membabitkan kawasan hutan paya gambut di Jalan Bypass Sebana Cove-Punggai, Pengerang, yang berlaku sejak 24 Ogos lalu kini melibatkan kawasan seluas 51.4 hektar.
- Kira-kira 29 hektar atau 57 peratus kawasan berjaya dipadamkan setakat tengah hari; angin kuat mencabar operasi, tiada nyalaan baharu dikesan.
- Operasi tertumpu di Sektor A dengan tiga seksyen menggunakan aliran air dan pam angkut untuk kawal dan padam sepenuhnya.
- 36 anggota bomba bersama SAJ, APM dan JAS serta 12 lori tangki, jentera pengorek dan pacuan empat roda teruskan pemantauan dan pemadaman.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Rengit, Timbalan Penguasa Bomba II Baharudiin Idris berkata, sehingga 12.00 tengah hari tadi, kira-kira 29 hektar atau 57 peratus daripada kawasan terbabit berjaya dipadamkan.
Menurutnya, keadaan angin yang agak kuat sedikit mencabar operasi pemadaman, namun tiada api nyalaan baharu dikesan di lokasi kebakaran.
“Operasi ketika ini tertumpu di Sektor A yang dibahagikan kepada tiga seksyen dengan menggunakan beberapa aliran air serta pam angkut bagi memastikan kebakaran dapat dikawal dan dipadamkan sepenuhnya.
“Di Sektor B pula, tiada kerja pemadaman dijalankan ketika ini berikutan hanya terdapat beberapa tompokan asap kecil. Bagaimanapun, pemantauan berterusan dilakukan bagi memastikan tiada kebakaran kembali berlaku,” katanya.
Dalam operasi itu, sebanyak 12 lori tangki air, tiga jentera pengorek, dua jentera pemadam dan penyelamat serta lima kenderaan pacuan empat roda digunakan, selain pelbagai peralatan lain.
Operasi berkenaan membabitkan 36 anggota bomba dari BBP Sebana Cove, Punggai, Sungai Rengit dan Bandar Penawar.
Turut terlibat 14 anggota Syarikat Air Johor (SAJ), sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta dua anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pengerang.
Pasukan terbabit akan meneruskan pemantauan dan kerja pemadaman di kawasan terjejas bagi memastikan kebakaran tidak merebak serta mengelakkan kejadian kebakaran semula.