BNM wujudkan rangka kerja tadbir urus bebas, pastikan MediAsas kekal mampu milik

Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Produk Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), MediAsas, kini memasuki fasa rintis, dengan Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah mewujudkan rangka kerja tadbir urus bebas bagi memastikan produk itu kekal mampu milik, relevan dan mampan dalam tempoh jangka panjang meskipun berdepan peningkatan kos penjagaan kesihatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rangka kerja tadbir urus akan dianggotai wakil pelbagai pihak berkepentingan untuk memastikan keputusan MediAsas mempertimbangkan pandangan ekosistem penjagaan kesihatan dan industri.
  • Program rintis menguji keseluruhan proses dari pendaftaran, pengunderaitan, pemprosesan tuntutan hingga operasi untuk kenal pasti ruang penambahbaikan.
  • MediAsas dijangka jadi penanda aras produk insurans dan takaful lain, memberi rujukan penetapan harga dan mengekang peningkatan kos.
  • Strategi RESET mencatat kemajuan dalam ketelusan harga ubat dan prosedur, penyampaian perkhidmatan serta reformasi sistem pembayaran dan MyEHR.

Timbalan Gabenor BNM, Aznan Abdul Aziz berkata, rangka berkenaan akan dianggotai wakil daripada pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan setiap keputusan berkaitan MediAsas mengambil kira pandangan menyeluruh daripada ekosistem penjagaan kesihatan dan industri insurans serta takaful.

“Kos perubatan akan terus meningkat dan cabaran itu akan berterusan. Oleh itu, kami merancang melaksanakan rangka kerja tadbir urus bagi mengkaji semula ciri-ciri serta kemampuan MediAsas secara berterusan,” katanya pada sesi pleno bertajuk Strategi RESET dan MediAsas: Mengemudi Tekanan Kos untuk Masa Depan yang Mampan sempena Simposium Sasana 2026, hari ini.

Menurut beliau, MediAsas kini berada dalam fasa rintis dan dijangka dilancarkan kepada orang ramai di seluruh negara pada Januari tahun depan.

Beliau berkata, program rintis itu penting bagi menguji keseluruhan ekosistem MediAsas sebelum pelaksanaannya secara menyeluruh.

Inilah sebenarnya tujuan pelaksanaan program rintis ini, iaitu untuk membolehkan kami mengenal pasti jika terdapat aspek yang masih perlu ditambah baik.

Kami akan mengujinya bersama sekumpulan peserta terpilih supaya keseluruhan sistem dapat dinilai secara menyeluruh.

“Pengujian itu meliputi keseluruhan proses, bermula daripada pendaftaran, pengunderaitan, pemprosesan tuntutan sehinggalah kepada aspek operasi. Kami mahu melihat sama ada terdapat ruang untuk penambahbaikan, misalnya memudahkan pengeluaran surat jaminan dan mempermudah proses membuat temu janji dengan doktor,” katanya.

Beliau berkata, MediAsas juga dijangka menjadi penanda aras kepada pembangunan produk insurans dan takaful perubatan lain di pasaran.

“MediAsas akan menjadi penanda aras atau asas kepada pembangunan produk-produk lain pada masa hadapan. Ia akan menetapkan hala tuju, termasuk menjadi rujukan dalam penetapan harga bagi produk insurans yang lain kerana MediAsas akan berfungsi sebagai produk asas.

“Apabila syarikat insurans menetapkan harga produk lain, mereka sentiasa perlu mengambil kira kewujudan pilihan alternatif ini. Secara tidak langsung, ia akan membantu membendung peningkatan kos yang akhirnya memberi manfaat kepada para pemegang polisi,” katanya.

Menyentuh perkembangan Strategi RESET, beliau berkata sekurang-kurangnya tujuh daripada 11 inisiatif di bawah kerangka itu telah mencatat kemajuan ketara sepanjang tahun lalu.

Katanya, kemajuan tersebut tertumpu kepada tiga bidang utama iaitu meningkatkan ketelusan maklumat, memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan serta mempercepat reformasi sistem pembayaran penjagaan kesihatan.

Antara langkah yang sedang dilaksanakan termasuk memperluaskan ketelusan harga ubat dan prosedur perubatan, selain memperkukuh penggunaan rekod perubatan elektronik menerusi kebolehoperasian sistem MyEHR.

Program rintis MediAsas yang bermula penghujung Julai melibatkan enam syarikat insurans dan pengendali takaful bersama beberapa hospital terpilih di Lembah Klang sebagai persediaan sebelum pelaksanaan nasional pada Januari 2027.

 

 

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.