
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 2026 diluluskan Dewan Negara hari ini, sekali gus memperkukuh tadbir urus dana strategik negara menerusi mekanisme sumbangan mandatori, had pengeluaran tahunan serta kawalan lebih ketat terhadap pengurusan dana.
- Hadkan kuasa menteri dan memastikan pengurusan KWAN dilaksanakan secara lebih telus serta berakauntabiliti.
- Sumbangan mandatori kerajaan: 0.1% hasil tahunan, 2% dividen PETRONAS, 2% hasil duti eksport.
- Had pengeluaran tahunan ditetapkan tidak melebihi 50% kadar pulangan benar jangka panjang; lebihan memerlukan kelulusan Dewan Rakyat.
- Perkukuh akauntabiliti melalui audit Ketua Audit Negara, laporan tahunan Parlimen, lembaga pakar, dan larangan pinjaman atau jaminan kerajaan.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, RUU berkenaan bukan bertujuan memperluaskan kuasa kerajaan, sebaliknya mengehadkan kuasa menteri dan memastikan pengurusan KWAN dilaksanakan secara lebih telus serta berakauntabiliti.
“Undang-undang ini sebenarnya untuk mengetatkan proses dan juga mengehadkan kuasa-kuasa menteri. Itu asas. Undang-undang ini bukan untuk mengembang ataupun memberikan kuasa yang lebih besar.
“Undang-undang ini ada tiga aspek. Satu ialah meletakkan sumbangan mandatori, dua menghadkan pengeluaran tahunan dan tiga mengetatkan tatakelola,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu di Dewan Negara.
Beliau berkata, di bawah RUU tersebut, kerajaan diwajibkan membuat sumbangan minimum kepada KWAN melalui tiga sumber utama iaitu 0.1 peratus daripada hasil tahunan kerajaan yang diunjurkan, dua peratus daripada dividen Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) yang diterima kerajaan serta dua peratus daripada hasil duti eksport sumber yang semakin menyusut selepas penyerahan kepada kerajaan negeri.
Menurutnya, jumlah sumbangan minimum itu dianggarkan hampir RM800 juta setahun dan, dengan aliran masuk dana yang konsisten serta pulangan pelaburan terkumpul, aset bersih KWAN dijangka meningkat dua kali ganda dalam tempoh kira-kira 10 tahun.
Mengenai pengeluaran dana, Liew berkata had pengeluaran tahunan ditetapkan tidak melebihi 50 peratus daripada kadar pulangan benar jangka panjang yang dijangka, manakala sebarang pengeluaran melebihi had tersebut hanya boleh dibuat melalui usul yang dibahaskan dan diluluskan Dewan Rakyat.
“KWAN ialah dana simpanan, bukan dana perbelanjaan kerajaan. Walaupun tiga bidang digariskan iaitu pendidikan, kesihatan dan perubahan iklim, pengeluaran hanya boleh dibuat bagi tujuan luar jangka dan tertakluk kepada syarat yang lebih ketat,” katanya.
Selain itu, katanya, RUU berkenaan turut memperkukuh aspek akauntabiliti melalui audit oleh Ketua Audit Negara, pembentangan laporan tahunan kepada kedua-dua Majlis Parlimen serta penubuhan sebuah lembaga yang dianggotai pakar dalam bidang pelaburan, perniagaan dan kewangan.
Beliau turut menjelaskan badan berkanun yang akan mentadbir KWAN tidak diberikan kuasa untuk membuat pinjaman, menerbitkan bon atau menerima jaminan kerajaan kerana perkara itu tidak diperuntukkan dalam RUU tersebut.
Menurutnya, keseluruhan reka bentuk RUU itu bertujuan memastikan hasil kekayaan negara daripada sumber asli yang semakin menyusut dapat dipelihara dan terus berkembang demi manfaat generasi akan datang, selain mengukuhkan tadbir urus dana negara.
KWAN ditubuhkan pada 1988 sebagai dana amanah negara bagi menyimpan sebahagian hasil daripada sumber asli yang tidak boleh diperbaharui, khususnya petroleum, untuk dimanfaatkan oleh generasi akan datang.
Sebelum pindaan ini, Akta KWAN 1988 tidak menetapkan sumbangan mandatori kepada dana berkenaan dan pengeluaran dana lebih bergantung kepada keputusan kerajaan semasa.
RUU KWAN 2026 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 16 Julai lalu memperkenalkan pembaharuan menyeluruh terhadap struktur tadbir urus dana itu, termasuk mekanisme pembiayaan yang lebih mampan, had pengeluaran yang lebih ketat serta pengawasan Parlimen bagi memastikan KWAN berfungsi sebagai dana simpanan strategik negara dan bukannya sumber pembiayaan perbelanjaan tahunan kerajaan.