
PAROI, 29 Julai – Bank Negara Malaysia (BNM) telah memberi amaran awal kepada Lembaga Tabung Haji (TH) berhubung isu pengurusan pada 2017, namun teguran itu tidak diambil tindakan sehingga menyebabkan kerugian besar.
- Amaran awal Bank Negara pada 14 September 2017 diabaikan, menyebabkan kerugian besar kepada Lembaga Tabung Haji.
- Suruhanjaya Siasatan Diraja menerbitkan laporan penuh yang menyiasat secara telus bukan hanya 2014 hingga 2017 tetapi juga perkembangan selepas itu.
- Proses pemulihan TH dijalankan di bawah pengerusi Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Jemaah Menteri setuju sidang khas Parlimen untuk perbahasan terbuka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu akan diperincikan dalam laporan penuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH yang diterbitkan hari ini.
Menurut beliau, keputusan Jemaah Menteri untuk menubuhkan RCI bertujuan memastikan siasatan dilakukan secara telus dan menyeluruh, bukan hanya melibatkan tempoh 2014 hingga 2017, tetapi turut merangkumi perkembangan selepas itu.
“Amaran awal telah diberikan pada 14 September 2017, tetapi tidak diendahkan dan perkara itu menyebabkan kerugian besar.
“Bagaimanapun, keputusan Jemaah Menteri adalah untuk membuka ruang siasatan secara telus hingga ke akar umbi. Bukan hanya tempoh 2014 hingga 2017 yang disiasat, tetapi juga perkembangan selepas itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Temu Anwar Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Datuk Seri Anwar berkata, proses pemulihan TH sedang dilaksanakan di bawah pengurusan semasa dipengerusikan Tan Sri Abdul Rashid Hussain bagi memastikan institusi itu kembali kukuh.
Menurut beliau, pendedahan menerusi RCI bukan bertujuan membongkar perkara lama semata-mata, sebaliknya menjadi pengajaran supaya perkara sama tidak berulang melibatkan amanah rakyat.
Dalam pada itu, Jemaah Menteri turut bersetuju supaya satu sidang khas Parlimen diadakan bagi membolehkan Dewan Rakyat meneliti perkara berkenaan, mendapatkan penjelasan lanjut serta membahaskannya secara terbuka.
Katanya, tarikh sidang khas itu perlu mendapat persetujuan Speaker Dewan Rakyat dan beliau telah mencadangkan supaya ia diadakan dalam tempoh terdekat.