ASEAN perlu pembiayaan skala besar percepat pembangunan tenaga

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

SUBANG JAYA, 29 Julai – ASEAN memerlukan suntikan modal besar dan kerjasama kukuh antara kerajaan, sektor swasta dan pelabur bagi mempercepat pembangunan infrastruktur tenaga bersih di seluruh rantau ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembiayaan berterusan diperlukan untuk membangunkan ladang solar, menaik taraf grid, penyimpanan bateri dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja.
  • Peralihan kepada tenaga boleh baharu penting untuk menangani perubahan iklim, memperkukuh keselamatan tenaga dan daya saing ekonomi.
  • Malaysia akan memperkukuh integrasi tenaga serantau melalui mekanisme seperti ASEAN Power Grid bagi meningkatkan keselamatan bekalan dan penggunaan tenaga boleh baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembiayaan berterusan diperlukan bagi membangunkan ladang solar, menaik taraf sistem grid, memperluas kemudahan penyimpanan tenaga dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja.

“Kita memerlukan modal untuk membina ladang solar, menaik taraf grid, memasang sistem penyimpanan bateri dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja. Kerajaan tidak mampu menanggung beban ini secara bersendirian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan GBA-ASEAN mengenai Peralihan Tenaga dan Integrasi di sini hari ini.

Datuk Seri Anwar berkata, peralihan kepada tenaga boleh baharu bukan sahaja penting untuk menangani perubahan iklim, malah menjadi keperluan strategik bagi memperkukuh keselamatan tenaga dan daya saing ekonomi Malaysia serta ASEAN.

“Peralihan kepada sumber tenaga bersih dan boleh baharu bukan sekadar pilihan dari sudut ekologi. Ia merupakan keperluan teras bagi keselamatan negara,” katanya.

Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh integrasi tenaga serantau menerusi mekanisme seperti ‘ASEAN Power Grid’ bagi meningkatkan keselamatan bekalan dan mempercepat penggunaan tenaga boleh baharu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.