
JOHOR BAHRU, 29 Julai – Transformasi Hutan Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Mutiara Rini kepada Laman Deria Pintar atau Smart Sensory Park bakal menawarkan ruang rekreasi moden, lestari dan inklusif kepada masyarakat menerusi projek bernilai lebih RM13 juta.
- Sembilan komponen termasuk kawasan permainan, permainan air, kolam cetek, pavilion dan ruang santai disediakan untuk pelbagai aktiviti rekreasi.
- Pembangunan berkonsepkan Universal Design memastikan kemudahan mesra kanak-kanak, warga emas, OKU dan keluarga.
- Aktiviti pelepasan 'mud ball' dan penaburan benih ikan dijalankan untuk meningkatkan kualiti air, kurangkan enapan dan pelihara biodiversiti.
- Gym Muafakat dilengkapi sistem pendaftaran digital, membolehkan pemantauan kecergasan serta ditawarkan kepada komuniti pada kadar rendah.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, projek berkeluasan lebih 60 ekar itu merangkumi sembilan komponen utama termasuk kawasan permainan, permainan air (waterplay), kolam cetek, pavilion serta ruang santai.
Beliau berkata pembangunan berkonsepkan ‘Universal Design’ itu turut mengambil kira keperluan kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan keluarga bagi memastikan semua lapisan masyarakat dapat menikmati kemudahan rekreasi yang disediakan.
Beliau berkata demikian selepas meninjau cadangan pembangunan Laman Deria Pintar di Hutan Bandar MBIP Mutiara Rini, Johor Bahru.
Dalam lawatan itu, beliau turut menyertai aktiviti pelepasan ‘mud ball’ (bebola lumpur) dan benih ikan ke dalam tasik sebagai usaha meningkatkan kualiti air, mengurangkan enapan serta memelihara biodiversiti kawasan berkenaan.
Datuk Onn Hafiz turut meninjau Gym Muafakat Hutan Bandar MBIP yang kini dilengkapi sistem pendaftaran digital bagi membolehkan pengguna memantau perkembangan kecergasan.
Kemudahan gimnasium itu ditawarkan kepada komuniti pada kadar RM5, sebagai sebahagian usaha menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.