
PUTRAJAYA, 28 Julai – Malaysia kini hanya 7.1 peratus bawah ambang negara berpendapatan tinggi Bank Dunia, didorong oleh pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini.
- Kerajaan mahu momentum pertumbuhan diterjemah kepada peningkatan produktiviti, pekerjaan berkualiti dan pendapatan rakyat.
- Agenda RMK13 dan laporan OECD akan memperkukuh pelaksanaan dasar serta mempercepat reformasi struktur ekonomi negara.
- Peralihan diperlukan dari aktiviti kos rendah ke ekonomi berinovasi, berpendigitalan dan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
- Kejayaan negara berpendapatan tinggi mesti diukur melalui gaji lebih baik, perkhidmatan awam kukuh dan keselamatan ekonomi untuk rakyat.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan akan memastikan momentum pertumbuhan itu diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti, lebih banyak pekerjaan berkualiti serta peningkatan pendapatan rakyat.
“Ekonomi Malaysia berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2026 berbanding 5.4 peratus pada suku pertama, manakala inflasi kekal terkawal pada 1.9 peratus pada Jun dan kadar pengangguran berada pada 3.0 peratus.
“Kerajaan mengekalkan sasaran pertumbuhan ekonomi antara 4 hingga 5 peratus bagi keseluruhan 2026, disokong permintaan domestik, pelaburan swasta, eksport serta sektor berteknologi tinggi termasuk semikonduktor dan pusat data.
“Ambang tersebut kini berada dalam jangkauan dalam tempoh RMK13. Namun, status negara berpendapatan tinggi bukan sekadar pencapaian angka statistik. Ia perlu diterjemahkan kepada gaji yang lebih baik, perkhidmatan awam yang lebih kukuh serta keselamatan ekonomi yang lebih terjamin untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran laporan Tinjauan Ekonomi Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD): Malaysia 2026 di sini, hari ini.
Menurut Akmal Nasrullah, cabaran seterusnya adalah memastikan pertumbuhan ekonomi disokong peningkatan produktiviti, pembangunan kemahiran tenaga kerja serta peralihan daripada aktiviti berasaskan kos rendah kepada ekonomi bernilai tinggi.
“Malaysia mesti terus beralih daripada kebergantungan berlebihan kepada aktiviti kos rendah dan intensif buruh kepada ekonomi berteraskan inovasi yang disokong pendigitalan, tenaga kerja berkemahiran serta perusahaan yang produktif.”
Sementara itu, laporan tinjauan ekonomi OECD itu akan menjadi rujukan penting dalam memperkukuh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, selain mempercepat reformasi struktur ekonomi negara.
Pada 2025, pendapatan negara kasar (PNK) per kapita Malaysia meningkat kepada RM57,200 atau kira-kira US$13,351, berbanding ambang negara berpendapatan tinggi Bank Dunia sebanyak US$14,375.