
BEIJING, 26 Julai – Taufan Noul membadai China awal pagi Ahad, membawa angin kencang dan hujan lebat ke sepanjang pesisir pantai selatan negara itu.
- Lebih 340,000 penduduk dipindahkan, kerja dan perkhidmatan kereta api digantung.
- Lebih 350 penerbangan di Lapangan Terbang Hong Kong dibatalkan; isyarat ribut T9 diturunkan kepada T8.
- Pusat taufan mendarat di Pinghai, Guangdong; angin maksimum 162 km/j, bergerak ke pedalaman ke Jiangxi, Hunan dan Hubei.
Menurut media kerajaan, ia merupakan ribut paling kuat melanda negara berkenaan, setakat tahun ini.
Amaran cuaca buruk susulan Taufan Noul mendorong pihak berkuasa memindahkan lebih 340,000 penduduk serta menggantung operasi kerja dan perkhidmatan kereta api, manakala gangguan besar terhadap penerbangan berterusan sehingga pagi Ahad.
Pusat taufan itu melanda daratan kira-kira pukul 3.50 pagi waktu tempatan berhampiran pekan Pinghai di Wilayah Guangdong, kira-kira 80 kilometer dari timur laut hab kewangan Hong Kong, menurut penyiar negara CCTV.
Kelajuan angin maksimum ketika ia membadai daratan direkodkan pada 162 kilometer sejam, sekali gus menjadikannya taufan paling kuat melanda China setakat 2026, menurut laporan itu.
Rakaman yang disiarkan CCTV menunjukkan angin kencang dan hujan lebat melanda kawasan terbabit, dengan jalan raya dipenuhi serpihan serta beberapa struktur kecil, tumbang akibat tiupan angin.
Sekurang-kurangnya 350 penerbangan keluar dan masuk di Lapangan Terbang Hong Kong dibatalkan pada Ahad, menurut laman sesawang lapangan terbang itu.
Hong Kong mengeluarkan isyarat ribut T9, iaitu amaran kedua tertinggi, pada waktu malam sebelum menurunkannya kepada isyarat T8 pada pagi Ahad.
“Noul bergerak secara konsisten ke kawasan pedalaman Guangdong dan semakin lemah, namun angin kencang masih melanda banyak kawasan di Hong Kong,” menurut Balai Cerap Hong Kong.
Kerajaan Hong Kong memaklumkan lebih 100 laporan mengenai pokok tumbang telah diterima, manakala sembilan orang dilaporkan cedera.
Selepas membadai daratan, Noul dijangka bergerak ke kawasan pedalaman, membawa angin kencang dan hujan lebat ke wilayah Jiangxi, Hunan dan Hubei, menurut CCTV.
Laporan itu turut menyatakan hujan akibat taufan berkenaan dijangka berterusan sehingga Selasa, termasuk di wilayah yang lebih ke utara seperti Henan dan Shandong.
Pihak berkuasa Guangdong turut meningkatkan tahap respons kecemasan kepada tahap ketiga tertinggi pada pagi Ahad. – AFP