
SYDNEY, 26 Julai – Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese memaklumkan bahawa beliau akan membangkitkan isu tarif dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, selepas Washington minggu ini mengenakan tarif baharu ke atas rakan dagangnya, termasuk Australia.
- Kerajaan Australia sifatkan tarif itu tidak berasas dan menuntut ia ditarik balik.
- AS mengenakan tarif baharu atas barangan dari 60 rakan dagang atas dakwaan buruh paksa; import Australia dikenakan 12.5%.
- Albanese tekankan Australia mempunyai peruntukan kukuh mengenai perhambaan moden dan memperkukuh rantaian bekalan serta denda dan penalti.
Pada Jumaat, AS mengenakan tarif baharu ke atas barangan dari 60 rakan dagang dengan mendakwa negara-negara berkenaan gagal membendung barangan perdagangan yang dihasilkan melalui buruh paksa, sejurus tarif global sementara sebanyak 10 peratus tamat tempoh.
Kerajaan Parti Buruh pimpinan Albanese menyifatkan tarif itu sebagai tidak berasas dan mahu ia ditarik balik.
Ketika ditanya sama ada beliau akan membincangkan isu itu dengan Trump, Albanese menjawab, “Sudah tentu.”
“Kami akan membangkitkan perkara ini di setiap peringkat hubungan Australia-AS. Kami juga telah pun berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi televisyen.
Albanese menegaskan, Australia mempunyai peruntukan yang sangat kukuh berhubung isu perhambaan moden dan kerajaan sedang memperkukuhkannya lagi dengan meneliti isu rantaian bekalan serta memastikan denda dan penalti yang berat boleh dikenakan.
Di bawah langkah baharu pentadbiran Trump, import dari Australia, bersama 37 negara lain, dikenakan tarif sebanyak 12.5 peratus.
Sebanyak 17 negara dikenakan tarif 10 peratus, manakala lima negara lagi tertakluk pada kadar tarif bercampur.
Albanese, yang sebelum ini menegaskan tumpuannya adalah terhadap perdagangan bebas dan adil dengan AS, menjadikan isu tarif sebagai antara perkara utama dalam perbualannya dengan Trump selepas kerajaan berhaluan tengah kiri itu kembali memegang tampuk pemerintahan menerusi kemenangan besar dalam pilihan raya tahun lalu. – REUTERS