Malaysia teliti undang-undang baharu tangani risiko buruh paksa

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Kerajaan sedang meneliti cadangan mewujudkan undang-undang baharu bagi menangani risiko buruh paksa dalam rantaian bekalan global, khususnya melibatkan bahan mentah yang diimport dari negara ketiga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan undang-undang ditangguhkan sehingga siasatan lebihan kapasiti selesai; kerajaan diberi tempoh dua tahun untuk memperkenalkannya.
  • Undang-undang tidak disasarkan kepada mana-mana negara tertentu; ia meliputi ekonomi yang terlibat amalan buruh paksa.
  • Malaysia mempunyai asas undang-undang kukuh untuk melindungi pekerja tetapi perlu tangani cabaran rantaian bekalan dari bahan mentah import.
  • AS memperkenalkan tarif baru berkaitan kebimbangan buruh paksa; Malaysia dikenakan duti 10 peratus di bawah Seksyen 301.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Ghani berkata, perkara itu masih di peringkat penelitian, dengan kerajaan sedang mendapatkan maklumat serta butiran lanjut sebelum pelaksanaannya.

“Apabila siasatan berkaitan lebihan kapasiti selesai, barulah kita boleh memperkenalkan undang-undang tersebut. Ini kerana isu lebihan kapasiti juga memerlukan peruntukan undang-undang baharu.

Sebab itu Malaysia diberikan tempoh dua tahun untuk menyediakan undang-undang berkenaan. Ia bukan sesuatu yang perlu dilaksanakan serta-merta,

Selepas perjanjian tersebut dimuktamadkan, Malaysia mempunyai tempoh dua tahun untuk menambah baik dan memperkenalkan undang-undang yang masih belum ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) Kali Ke-50 di sini, hari ini.

Tambah beliau, cadangan undang-undang itu tidak tertumpu kepada mana-mana negara tertentu, sebaliknya melibatkan ekonomi yang mempunyai isu berkaitan amalan buruh paksa.

“Ia tidak semestinya hanya melibatkan China atau mana-mana negara tertentu sahaja. Selagi sesuatu negara atau ekonomi memenuhi kategori buruh paksa dan kita tidak mengambil tindakan sewajarnya, Malaysia juga boleh terkesan,” katanya lagi.

Mengulas mengenai undang-undang buruh sedia ada, Datuk Seri Johari berkata Malaysia telah mempunyai asas yang kukuh bagi melindungi pekerja daripada amalan buruh paksa dalam negara.

Bagaimanapun, katanya, cabaran baharu juga perlu diberi perhatian dalam memastikan rantaian bekalan Malaysia bebas daripada elemen buruh paksa, termasuk apabila bahan mentah diperoleh dari luar negara.

“Negara-negara yang mengamalkan buruh paksa dan tidak mengikut undang-undang antarabangsa dari segi layanan terhadap pekerja, jika kita membeli barang daripada negara tersebut dan menggunakannya sebagai bahan untuk menghasilkan produk Malaysia, perkara itu boleh memberi kesan kepada kita,” katanya.

Sebelum ini, Amerika Syarikat (AS)mengumumkan tarif baharu ke atas 60 rakan dagang susulan kebimbangan berkaitan buruh paksa, bagi menggantikan tarif global yang bakal tamat tempoh dan diperkenalkan Presiden Donald Trump awal tahun ini.

Susulan itu, Malaysia merupakan antara negara ASEAN yang dikenakan kadar duti terendah sebanyak 10 peratus di bawah tarif baharu Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.