
SEMENYIH, 25 Julai – Penyertaan pelajar dari beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Kedah dan Melaka menyerlahkan status kebangsaan Karnival Semekar 2026 yang berlangsung meriah di SMK Bandar Rinching hari ini.
- Karnival menekankan pemerkasaan ilmu dan kemahiran, membina kemahiran berniaga serta layanan pelanggan, menyumbang markah pencapaian PAJSK kebangsaan.
- Penganjuran menampilkan pameran IPT, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan; penambahbaikan berterusan untuk kukuhkan kokurikulum dan keusahawanan.
- Acara sehari itu merangkumi enam pertandingan utama, lebih 90 gerai jualan, dan sambutan ramai pelajar, ibu bapa serta komuniti.
Menurut Pengetua SMK Bandar Rinching, Sarbanun Ismail, karnival Kokurikulum dan Keusahawanan (Semekar) ini memberi penekanan kepada pemerkasaan dalam membina ilmu dan kemahiran dikalangan pelajar.
“Karnival ini bukan sekadar pertandingan, tetapi membina kemahiran berniaga dan melayan pelanggan, sekali gus memberi markah pencapaian PAJSK peringkat kebangsaan,”katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Koordinator karnival, Mahadzir Othman berkata kepada media, penganjuran kali ini turut menampilkan pelbagai pameran daripada pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan dan agensi kerajaan.
“Kita ada pameran daripada IPT, IPTA, IPTS serta agensi-agensi kerajaan daripada kerajaan pusat dan kerajaan Selangor.
“Penambahbaikan akan dibuat dari semasa ke semasa bagi memberi input bahawa kokurikulum dan keusahawanan merupakan bidang penting untuk menjana masa depan anak-anak yang hebat, insya-Allah,” ujarnya.
Majlis perasmian disempurnakan Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Kumpulan Pembangunan Koperasi, Datuk Kamarudin Ismail, yang menyifatkan program seumpama itu sebagai platform penting dalam memperkasa pendidikan berteraskan kemahiran dan keusahawanan di peringkat sekolah.
Program sehari itu menampilkan enam pertandingan utama iaitu senamrobik, pickleball, kuiz kerjaya, Xplorace badan beruniform, keusahawanan serta bridge building.
Selain itu, lebih 90 gerai jualan dan pelbagai aktiviti sukan rakyat turut memeriahkan karnival, menjadikannya antara acara kokurikulum berskala besar yang menghimpunkan penyertaan pelajar dari seluruh negara.
Karnival ini dijangka menarik sehingga 15,000 pengunjung, dengan lebih 10,000 orang direkodkan hadir seawal pukul 10.30 pagi, sekali gus mencerminkan sambutan luar biasa daripada pelajar, ibu bapa dan komuniti setempat.