PM selar tindakan nafikan hak mana-mana kaum

Perdana Menteri hadir merasmikan SMKA Sheikh Tahir Jalaluddin/ Foto RTM

BUKIT MERTAJAM, 25 Julai – Tindakan mengenepikan atau mengeluarkan kenyataan yang menafikan hak mana-mana kaum adalah tidak wajar dan suatu penghinaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri tekankan peranan dan sumbangan semua kaum yang setia kepada Perlembagaan harus diiktiraf sebagai kekuatan utama negara.
  • Beliau membidas dakwaan penguasaan ekonomi dan kuasa politik Melayu semakin terhakis, menganggap kenyataan sedemikian tidak boleh diterima.
  • Kerajaan akan membuat pengumuman esok mengenai penganjuran Formula Satu; kementerian sedang menilai kemungkinan F1 kembali ke Litar Antarabangsa Sepang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, peranan dan sumbangan setiap kaum yang taat setia kepada Perlembagaan Persekutuan perlu diakui sebagai kekuatan utama negara.

Justeru, sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti perkauman dan status kewarganegaraan merupakan suatu penghinaan kerana identiti rakyat Malaysia yang dibentuk daripada pelbagai latar belakang termasuk telah lama menyumbang kepada pembangunan negara.

“Negara kita sudah merdeka hampir 70 tahun. Saya fikir mana-mana pemimpin yang mengeluarkan kenyataan begitu disifatkan menghina kehadiran kaum lain. Orang Melayu pun, majoriti memang asalnya dari Tanah Melayu, tapi ada juga dari Indonesia, ada juga keturunan Cina, ada juga keturunan Korea dan kita tidak boleh tolak mereka sebagai bukan rakyat.

Apa lagi di kalangan masyarakat Cina atau India yang taat serta menerima perlembagaan dan menjadi warganegara yang baik, harus kita rangkul sebagai kekuatan Malaysia.

Saya tidak setuju sama sekali mana-mana tanggapan yang menghina atau mengenepikan peranan mana-mana kaum di negara kita,” tegas Datuk Seri Anwar.

Beliau menyatakannya ketika Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Tegas Datuk Seri Anwar, mana-mana tanggapan yang menghina atau mengenepikan sumbangan masyarakat sama ada Melayu, Cina, India mahupun kaum-kaum lain tidak boleh diterima sama sekali.

Perdana Menteri membidas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu ceramah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang mendakwa penguasaan ekonomi dan kuasa politik orang Melayu semakin terhakis.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah turut melemparkan kritikan keras dengan menyamakan sebahagian pemimpin Melayu yang bekerjasama dengan parti lawan seperti watak “Buang” dalam filem klasik Sarjan Hassan.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri turut memaklumkan satu pengumuman berkaitan penganjuran Formula Satu (F1) akan dibuat esok.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dilaporkan berkata, kementeriannya sedang mengadakan perbincangan serta menilai kemungkinan perlumbaan F1 kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Langkah itu dibuat susulan maklumat awal yang menunjukkan Malaysia berpotensi menjadi tuan rumah perlumbaan gantian sekiranya Grand Prix Bahrain tidak dapat diteruskan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.