
LONDON, 25 Julai- Lima anggota Polis Metropolitan London cedera selepas bot ronda yang dinaiki merempuh Jambatan Westminster ketika dalam perjalanan ke satu lokasi susulan laporan mengenai seorang individu terjatuh ke Sungai Thames pada Jumaat.
- Bot ronda merempuh Jambatan Westminster semasa dalam perjalanan menyahut laporan individu jatuh ke Sungai Thames.
- Lima anggota Polis Metropolitan cedera; tiga tercampak ke dalam sungai dan diselamatkan oleh bot berhampiran.
- Semua cedera menerima rawatan awal, seorang pulang; empat lagi cedera serius tetapi tidak mengancam nyawa.
- Jambatan ditutup sementara, pasukan kecemasan bertugas berhampiran bangunan Parlimen; Polis menghargai bantuan orang awam.
Insiden yang berlaku kira-kira pukul 3.40 petang waktu tempatan itu menyebabkan tiga anggota polis tercampak ke dalam sungai sebelum diselamatkan oleh bot-bot berhampiran.
Kesemua anggota yang cedera menerima rawatan awal sebelum dibawa ke hospital. Seorang daripada mereka telah dibenarkan pulang, manakala empat lagi dilaporkan mengalami kecederaan serius namun tidak mengancam nyawa.
Menurut Polis Metropolitan, tiada orang awam cedera dalam kejadian itu.
Pihaknya turut menghargai tindakan pantas orang awam dan pasukan penyelamat yang membantu operasi menyelamat di lokasi.
Rakaman yang disiarkan stesen televisyen tempatan menunjukkan Jambatan Westminster ditutup kepada orang ramai dan kenderaan, sementara pasukan kecemasan menjalankan operasi di kawasan berhampiran bangunan Parlimen Britain.
Unit Polis Marin Polis Metropolitan bertanggungjawab menjalankan rondaan di sepanjang kira-kira 75 kilometer Sungai Thames. –AFP