
KUALA LUMPUR, 24 Julai– Konflik berpanjangan di Asia Barat dijangka terus memberi tekanan kepada prospek perniagaan Malaysia pada separuh kedua 2026.
- Kos operasi meningkat menjejaskan jualan, pengeluaran dan pertumbuhan ekonomi.
- PMKS masih bergelut dengan kos tinggi dan ketidaktentuan persekitaran perniagaan.
- Indeks keadaan perniagaan merosot manakala sentimen untuk separuh kedua kekal berhati-hati.
- Akses pembiayaan lemah bagi perusahaan mikro; saran permohonan lebih mudah dan pembiayaan alternatif masih rendah.
Ia susulan peningkatan kos operasi yang menjejaskan jualan, pengeluaran dan pertumbuhan ekonomi.
Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), Datuk Ng Yih Pyng berkata, data itu diperoleh hasil Tinjauan Persekitaran Perniagaan dan Ekonomi ACCCIM (M-BECS).
Jelas beliau, tinjauan mendapati, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) masih bergelut dengan peningkatan kos operasi serta ketidaktentuan persekitaran perniagaan sepanjang separuh pertama tahun ini.
“Dapatan kajian menunjukkan kemerosotan sentimen perniagaan susulan ketidaktentuan global yang semakin meningkat. Indeks keadaan perniagaan merosot kepada 78.5 pada separuh pertama 2026.
Manakala indeks sentimen perniagaan menunjukkan pandangan yang lebih berhati-hati dan optimistik bagi separuh kedua tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media laporan hasil M-BECS, di ibu negara.
Dalam pada itu, tinjauan yang dijalankan terhadap 791 responden dari 4 hingga 30 Jun lalu mendapati Indeks Persekitaran Perniagaan (BCI) merosot 10.5 mata kepada 78.5 pada separuh pertama tahun ini.
Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) pula diunjurkan pada 94.9 bagi separuh kedua 2026, mencerminkan prospek perniagaan yang masih berhati-hati.
Kenaikan harga bahan mentah dan kos operasi kekal menjadi cabaran utama, terutama dalam sektor pembinaan, pembuatan serta perdagangan borong dan runcit.
“Dalam aspek pembiayaan, bank konvensional kekal menjadi sumber utama pembiayaan perniagaan.
Bagaimanapun, perusahaan mikro masih berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan, manakala penggunaan pembiayaan alternatif seperti pembiayaan rakan setara (P2P), pendanaan ekuiti ramai (ECF) dan bank digital masih rendah,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, Datuk Ng menyarankan usaha memperkukuh akses pembiayaan kepada PMKS melalui proses permohonan yang lebih mudah dan cekap.