
LÈGE-CAP-FERRET, 24 Julai – Lebih 10,000 penduduk dan pelancong dipindahkan dari kediaman serta tapak perkhemahan berhampiran pantai Atlantik di barat daya Perancis susulan kebakaran hutan yang merebak dengan pantas, ketika gelombang haba melampau dan kemarau berpanjangan terus melanda beberapa negara Eropah.
- Saintis memberi amaran perubahan iklim memburukkan krisis bekalan air dan meningkatkan risiko kebakaran hutan.
- Tiga gelombang haba berturut-turut menjadikan kemarau lebih teruk, mengeringkan hutan dan tumbuhan sehingga mudah terbakar.
- Keluasan kawasan yang musnah oleh kebakaran tahun ini melebihi purata tahunan dua dekad lalu di Eropah.
- 500 anggota bomba dikerahkan dan tiada cedera dilaporkan; di Sicily seorang anggota bomba meninggal ketika memadam, sementara Sepanyol masih memadam kebakaran.
Saintis memberi amaran perubahan iklim semakin memburukkan krisis kekurangan bekalan air di benua itu, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran hutan.
Eropah kini berdepan tiga gelombang haba berturut-turut sejak awal musim panas yang menyebabkan kemarau semakin buruk menjejaskan bekalan air serta mengeringkan kawasan hutan dan tumbuh-tumbuhan sehingga mudah terbakar.
Keadaan itu menyebabkan keluasan kawasan yang musnah akibat kebakaran hutan tahun ini melebihi purata tahunan sepanjang dua dekad lalu di Eropah, yang merupakan benua paling pantas mengalami pemanasan global.
Gelombang haba berkenaan turut mengorbankan ribuan penduduk.
Menurut pihak berkuasa Perancis, lebih 10,000 orang dipindahkan dalam tempoh semalaman selepas kebakaran memusnahkan sekurang-kurangnya 2,400 hektar kawasan di barat bandar Bordeaux.
Seramai 500 anggota bomba dikerahkan bagi mengawal kebakaran manakala setakat ini tiada mangsa dilaporkan cedera.
Kebakaran berlaku berhampiran Teluk Arcachon, destinasi pelancongan popular di negara itu, dengan sebahagian besar mangsa yang dipindahkan terdiri daripada pelancong yang menginap di tapak perkhemahan.
Datuk Bandar Lège-Cap-Ferret, Philippe de Gonneville berkata kebakaran merebak lebih pantas daripada jangkaan sepanjang malam.
Di negara jiran, Sepanyol pula pihak berkuasa masih bertungkus-lumus memadamkan beberapa kebakaran hutan yang berlarutan sejak beberapa hari lalu.
Sementara itu, di Itali, seorang anggota bomba berusia 59 tahun meninggal dunia selepas rebah ketika memadamkan kebakaran hutan berskala besar berhampiran San Cataldo di Sicily. – REUTERS