
TEHRAN, 24 Julai – Iran dan Amerika Syarikat (AS) saling membuat ancaman antara satu sama lain untuk meningkatkan serangan ketika konflik di Asia Barat semakin memuncak susulan serangan kumpulan Houthi ke atas kapal tangki minyak Arab Saudi, sekali gus mencetuskan lonjakan harga minyak dunia.
- Presiden AS Donald Trump menuduh Tehran dan mengancam hukuman ketenteraan besar jika bertanggungjawab.
- Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres memberi amaran keadaan semakin tidak terkawal dan di ambang senario sukar dibayangkan.
- Jurucakap tentera Iran Mohammad Akraminia kata serangan balas diteruskan selagi AS menyerang infrastruktur dan pesisir negara itu.
Presiden Donald Trump menegaskan Tehran bertanggungjawab atas tindakan kumpulan berkenaan dan memberi amaran kedua-duanya bakal berdepan “hukuman ketenteraan yang besar”.
Harga minyak mentah melonjak melepasi paras US$100 setong buat kali pertama sejak Mei, meningkat 8.4 peratus susulan kebimbangan terhadap keselamatan laluan perkapalan di Laut Merah.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran keadaan kini semakin tidak terkawal dan berada di ambang situasi yang sukar dibayangkan.
Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Christine Lagarde pula berkata kejutan harga tenaga berpotensi menjadi lebih buruk sekali gus meningkatkan tekanan inflasi dan mengukuhkan jangkaan kenaikan kadar faedah zon euro pada September.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius berkata konflik berkenaan boleh membawa implikasi serius kepada negara-negara pengimport minyak selain menegaskan tiada petunjuk gencatan senjata mahupun perdamaian dapat dicapai dalam masa terdekat.
Konflik kembali memuncak bulan ini selepas gencatan senjata yang hanya bertahan beberapa minggu berakhir, sekali gus mengembalikan ketegangan di rantau itu apabila Iran dan AS terus bersaing menguasai Selat Hormuz, laluan strategik perdagangan tenaga dunia.
Jurucakap tentera Iran, Mohammad Akraminia dipetik media tempatan sebagai berkata serangan balas akan diteruskan selagi AS menyerang infrastruktur dan kawasan pesisir negara itu.
Dalam perkembangan sama, kumpulan Houthi di Yaman mengisytiharkan sekatan terhadap pelabuhan Arab Saudi dan mendakwa telah melancarkan serangan ke atas beberapa kapal tangki minyak.
Jordan dan Kuwait turut memaklumkan berjaya memintas beberapa serangan, ketika tentera Iran dan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mendakwa menyasarkan aset ketenteraan AS di kedua-dua negara tersebut. – AFP