Konsep CPTED: Ruang awam lebih selamat menjelang 2030

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 23 Julai — Aspek keselamatan wanita dan kanak-kanak di ruang awam akan dipertingkatkan menerusi penerapan prinsip Pencegahan Jenayah Melalui Reka Bentuk Persekitaran (CPTED) dalam perancangan dan pembangunan bandar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penumpuan di kawasan kediaman, taman rekreasi, laluan pejalan kaki dan perhentian bas, khususnya lokasi dikenal pasti berisiko tinggi.
  • RFN5 menerjemah konsep Bandar Selamat dan CPTED bagi mewujudkan persekitaran bandar yang lebih selamat, inklusif dan berdaya huni.
  • Sub Tindakan PK4-1 menekankan Reka Bentuk Sejagat untuk akses semua, menyokong sasaran SDG 11.2 menjelang 2030.
  • Pelaksanaan inisiatif keselamatan ruang awam memerlukan kerjasama bersepadu Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata pendekatan itu akan diberi perhatian khusus di kawasan kediaman, taman rekreasi, laluan pejalan kaki dan perhentian bas, terutama di lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi.

Beliau berkata, elemen Bandar Selamat dan CPTED turut diterjemahkan secara lebih terperinci menerusi Draf Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN5) bagi mewujudkan persekitaran bandar yang lebih selamat, inklusif dan berdaya huni.

“Selain itu, RFN5 di bawah Sub Tindakan PK4-1 iaitu Reka Bentuk dan Kemudahan Sokongan Rangkaian Mobiliti Aktif turut menekankan prinsip Reka Bentuk Sejagat (Universal Design) yang boleh diakses semua lapisan masyarakat termasuk orang kurang upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak.

“Ini secara tidak langsung menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya Sasaran 11.2, iaitu menyediakan akses kepada sistem pengangkutan yang selamat, berpatutan, mudah digunakan dan mampan untuk semua menjelang 2030, dengan memberi perhatian khusus kepada keperluan wanita, kanak-kanak, OKU dan warga emas,” katanya di Dewan Negara.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Norhasmimi Abdul Ghani mengenai pelan tindakan nasional bagi meningkatkan keselamatan wanita dan kanak-kanak di ruang awam.

Aiman Athirah berkata, pelaksanaan inisiatif keselamatan ruang awam memerlukan kerjasama bersepadu antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.