
KUALA LUMPUR, 23 Julai — Sistem Pemantauan Bandar Selamat (SPBS) yang mengintegrasikan data jenayah, maklumat guna tanah dan pelaksanaan program keselamatan pihak berkuasa tempatan (PBT) kini digunakan bagi mengenal pasti kawasan berisiko tinggi secara lebih tepat.
- SPBS dilengkapi analisis hotspot jenayah, analisis corak jenayah serta pengesan lokasi kejadian berulang.
- Kemudahan ini membantu agensi merancang intervensi keselamatan secara lebih bersasar dan berkesan.
- Dibangunkan sejak 2021 dan digunakan rasmi pada 2024; versi awal diserahkan kepada polis untuk penambahbaikan.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata sistem itu turut dilengkapi analisis ‘hotspot’ jenayah, analisis corak jenayah serta pengesan lokasi kejadian berulang.
Menurutnya, kemudahan itu membantu agensi berkaitan merancang intervensi keselamatan secara lebih bersasar.
“SPBS berfungsi sebagai platform bersepadu yang mengintegrasikan tiga sumber data utama, iaitu data jenayah daripada Sistem Laporan Polis Bersepadu, data pelaksanaan Program Bandar Selamat di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) serta maklumat guna tanah menerusi Sistem Maklumat Geografi (GIS),” katanya di Dewan Negara.
Katanya, melalui sistem ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dan pihak berkuasa tempatan dapat mengenal pasti kawasan yang merekodkan kepadatan serta kadar jenayah yang tinggi bagi merancang langkah intervensi keselamatan secara lebih berkesan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Norhasmimi Abdul Ghani mengenai kewujudan pangkalan data bersepadu bagi mengenal pasti lokasi berisiko tinggi terhadap keselamatan wanita dan kanak-kanak.
Aiman Athirah berkata, SPBS mula dibangunkan pada 2021 dan digunakan secara rasmi pada 2024.
Katanya, versi terdahulu sistem itu diserahkan kepada polis untuk tujuan penambahbaikan dan pembangunan semula supaya maklumat berkaitan keselamatan dapat diintegrasikan dengan lebih berkesan.