
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Sasaran untuk melahirkan 50,000 penjaga warga emas berkemahiran menjelang 2030 sebagai persediaan menghadapi peningkatan keperluan penjagaan jangka panjang apabila Malaysia menuju status negara menua.
- Strategi KPWKM melalui Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia membangunkan ekosistem penjagaan lebih mampan.
- Meningkatnya kos penjagaan warga emas, penyakit kronik dan penjagaan jangka panjang perlu ditangani sebagai isu keselamatan sosial menerusi pendekatan whole-of-nation.
- Kerajaan menggalakkan perkongsian awam swasta untuk tingkatkan perkhidmatan jagaan di rumah dan pusat jagaan swasta kompetitif serta mampu diakses.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Lim Hui Ying berkata, langkah itu merupakan antara strategi di bawah Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia 2026-2030 bagi membangunkan ekosistem penjagaan lebih mampan.
Beliau berkata, Malaysia kini berdepan cabaran peningkatan kos penjagaan warga emas, khususnya membabitkan rawatan penyakit kronik dan penjagaan jangka panjang.
“Kerajaan tidak lagi melihat isu ini sebagai isu kebajikan semata-mata, sebaliknya sebagai satu agenda keselamatan sosial negara yang holistik.
“Dalam hal ini, pendekatan whole-of-nation perlu diambil memandangkan isu ini perlu didepani melalui pelbagai sudut yang melibatkan bidang kuasa dan kepakaran merentasi pelbagai kementerian dan pihak swasta.
“Di pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), peranan yang ditumpukan pada masa ini adalah untuk melahirkan penjaga yang berpengetahuan dan berkemahiran untuk memenuhi keperluan masyarakat”, katanya.
Beliau menjawab soalan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berhubung kos penjagaan warga emas yang semakin meningkat khususnya bagi mereka yang memerlukan penjagaan rapi, penjagaan jangka panjang dan rawatan penyakit kronik di Dewan Negara hari ini.
Katanya, kerajaan turut menggalakkan penglibatan sektor swasta menerusi perkongsian awam swasta bagi meningkatkan penawaran perkhidmatan penjagaan di rumah dan pusat jagaan swasta yang kompetitif serta mampu diakses.