
CHANGZHOU, 22 Julai – Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah memulakan kempen Terbuka China 2026 dengan langkah kanan apabila mara ke pusingan kedua selepas menewaskan gandingan Jepun, Ririna Hiramoto-Kokona Ishikawa, hari ini.
- Pearly-Thinaah bangkit daripada kekecewaan tersingkir awal di Terbuka Jepun, menunjukkan peningkatan prestasi.
- Pasangan itu kini berpeluang mengejar gelaran sulung Jelajah Dunia Super 1000 dan kejohanan kedua musim ini.
- Beregu campuran Goh-Shevon turut mara; mereka bakal diuji menentang pasangan China untuk merebut tempat suku akhir.
Pasangan pilihan kelima kejohanan itu tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan straight set 21-16, 21-12 ke atas gandingan ranking ke-29 dunia berkenaan dalam aksi yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Changzhou.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Pearly-Thinaah bangkit daripada kekecewaan tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Jepun minggu lalu selepas tewas kepada pasangan Taiwan, Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun.
Naib juara dunia itu kini berpeluang meneruskan cabaran memburu gelaran sulung kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 1000, selain mengintai kejuaraan kedua musim ini selepas muncul juara Masters Indonesia pada Januari lalu.
Di pusingan kedua, Pearly-Thinaah akan berdepan gandingan Ukraine, Polina Buhrova-Yevheniia Kantemyr.
Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut mengesahkan tempat ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Misaki Matsumoto 21-15, 16-21, 21-19 dalam pertarungan selama 49 minit.
Bagaimanapun, pasangan negara bakal berdepan ujian lebih getir apabila dijadual menentang pasangan China, Guo Xinwa-Chen Fanghui bagi merebut slot ke suku akhir.
Dalam saingan perseorangan wanita, Wong Ling Ching menamatkan cabaran seawal pusingan pertama selepas tewas 17-21, 21-16, 17-21 kepada pemain Korea Selatan, Sim Yu Jin.