Negeri Sembilan hab pengeluaran produk halal, tumpu tembusi pasaran antarabangsa – TPM Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi / Foto RTM

SEREMBAN, 21 Julai – Negeri Sembilan berpotensi dibangunkan sebagai antara hab pengeluaran produk halal dengan tumpuan bukan sahaja pasaran domestik, malah pasaran antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Galakkan pelabur asing masuk untuk pengeluaran produk halal bernilai tinggi, sasar pasaran antarabangsa.
  • Fokus pembangunan sektor farmaseutikal, vaksin dan bahan ramuan bagi produk perubatan serta kosmetik.
  • Pelaburan halal bernilai tinggi akan merancakkan ekonomi negeri, mewujudkan rantaian industri baru dan peluang pekerjaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, potensi itu boleh dipacu menerusi kemasukan pelabur asing dalam sektor pengeluaran produk halal bernilai tinggi.

Tambahnya lagi, perbincangan dengan pelabur asing telah diadakan bagi meneroka peluang pelaburan dalam sektor berkenaan.

“Saya telah bawa (berjumpa) pelabur-pelabur asing untuk pengeluaran produk-produk halal bukan untuk pasaran domestik kita yang agak kecil ini tetapi juga pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan dengan menembusi pasaran antarabangsa berpotensi membuka ruang yang lebih luas buat Negeri Sembilan dalam membangunkan rantaian industri halal.

“Antara bidang berpotensi dibangunkan termasuk farmaseutikal dan perubatan, vaksin serta bahan ramuan bagi produk perubatan dan kosmetik,” katanya lagi.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata pelaburan dalam sektor halal bernilai tinggi bukan sahaja merancakkan aktiviti ekonomi negeri, malah mewujudkan rantaian industri baharu sekali gus mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

“Usaha ini dilihat mampu memperkukuh kedudukan Negeri Sembilan dalam ekosistem industri halal negara sekiranya perancangan ini berjaya direalisasikan,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Himpunan Warga Kemas Bersama Kepimpinan Tertinggi di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas, Kampung Pantai, di sini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.