
KEMAMAN, 21 Julai – EPIC Berhad menjangkakan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), khususnya pembinaan jajaran (spur line) ke Pelabuhan Kemaman, bakal menjadi pemangkin utama pertumbuhan syarikat dengan sasaran hasil mencecah RM700 juta menjelang 2030.
- Pembinaan jajaran ECRL dan penambakan tanah 22 hektar ke Pelabuhan Kemaman dijangka siap pada September, kerja dijadual bermula 1 Januari 2027.
- Jajaran ECRL dianggap sebagai game changer yang meningkatkan kesalinghubungan Pelabuhan Kemaman dengan Pelabuhan Klang, Pelabuhan Kuantan dan Lembah Klang.
- EPIC merancang ceburi pengendalian kargo kontena, perluaskan kapasiti KSB dan projek RGT bernilai RM3.8 bilion berpotensi tarik pelaburan baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, projek penambakan tanah seluas 22 hektar bagi pembinaan jajaran ECRL masuk ke Pelabuhan Kemaman dijangka siap pada September depan.
Menurut beliau, pembinaan jajaran ECRL ke pelabuhan berkenaan serta kerja penambakan tanah dijadualkan bermula pada 1 Januari 2027 selaras dengan perancangan Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Rail Link (MRL).
Beliau berkata, jajaran ECRL ke Pelabuhan Kemaman merupakan satu perubahan besar (game changer) kepada EPIC kerana mampu meningkatkan kesalinghubungan pelabuhan itu dengan pelabuhan utama lain termasuk Pelabuhan Klang di Selangor, Pelabuhan Kuantan di Pahang serta kawasan Lembah Klang.
“ECRL Spur Line adalah ‘game changer’ kepada EPIC kerana ia akan memastikan ketersambungan antara Pelabuhan Kemaman dengan pelabuhan-pelabuhan lain termasuk Pelabuhan Klang, Pelabuhan Kuantan serta menghubungkan negeri Terengganu dengan Lembah Klang bagi pergerakan barangan menggunakan laluan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian National Training Week (NTW) 2026 di ibu pejabat EPIC Berhad, Kemaman, Terengganu hari ini.
Dr. Ts. Muhtar berkata, selain meningkatkan kecekapan logistik, EPIC turut merancang memasuki segmen pengendalian kargo kontena sebagai perniagaan baharu bagi melengkapkan operasi sedia ada yang kini tertumpu kepada kargo pukal kering (Dry Bulk) dan kargo pukal am (Breakbulk).
EPIC merekodkan hasil tertinggi dalam sejarah sebanyak RM411.9 juta tahun lalu dan yakin projek pembesaran pelabuhan serta pembangunan ECRL mampu meningkatkan prestasi kewangan syarikat dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menurut beliau, pelaksanaan ECRL juga dijangka mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan jalan raya, sekali gus menjadikan pergerakan kargo lebih pantas, cekap dan berdaya saing.
Dalam perkembangan lain, EPIC turut memperluaskan kapasiti Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) menerusi pembinaan gudang baharu bagi memenuhi peningkatan permintaan industri minyak dan gas.
KSB kini menempatkan 262 penyewa termasuk Petroleum Arrangement Contractors (PACs) dengan kira-kira 9,000 tenaga kerja beroperasi setiap hari, termasuk hampir 2,000 kakitangan EPIC.
Tambah beliau, projek Terminal Regasifikasi Kemaman (RGT) bernilai RM3.8 bilion berpotensi menjadi pemangkin kepada pelaburan baharu sekiranya mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga, membabitkan penyertaan pelabur antarabangsa serta dijangka merancakkan lagi pembangunan industri minyak dan gas di Kemaman.