
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Malaysia terus memperkukuh usaha membangunkan ekosistem digital yang selamat, dipercayai dan berdaya tahan menerusi penganjuran Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
- IRC menjadi medan perbincangan antarabangsa untuk berkongsi pandangan dan pengalaman menghadapi cabaran ekosistem digital baharu.
- Isu utama yang dibincangkan termasuk keselamatan penggunaan AI, komunikasi kuantum dan keselamatan dalam talian secara menyeluruh.
- Peralihan Malaysia daripada model Rangkaian Borong Tunggal ke dwi-rangkaian 5G menarik perhatian pengawal selia antarabangsa.
- Persidangan diharap melahirkan tindakan susulan dan kerjasama serantau bagi menangani kemudaratan dalam talian, keselamatan siber dan akauntabiliti platform.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, IRC menjadi medan perbincangan bagi membolehkan negara-negara berkongsi pandangan serta pengalaman dalam menghadapi cabaran baharu ekosistem digital.
“Saya harap dalam program dua hari ini, isu-isu seperti keselamatan penggunaan kecerdasan buatan (AI), komunikasi kuantum dan juga keselamatan dalam talian secara amnya dapat dibincangkan dan diteliti.”
“Apa yang kita harapkan daripada persidangan ini ialah beberapa tindakan susulan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara-negara lain,” katanya ketika sidang media selepas persidangan itu.
Beliau berkata, penganjuran IRC bermula ketika Malaysia beralih daripada model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) kepada dwi-rangkaian bagi pelaksanaan rangkaian 5G yang mencetuskan minat badan kawal selia antarabangsa untuk memahami proses serta pengalaman Malaysia dalam peralihan tersebut.
Menurut beliau, perkembangan itu turut membuka ruang kepada perbincangan lebih luas mengenai keselamatan dalam talian serta usaha kerjasama antara badan kawal selia digital di seluruh dunia bagi menangani kemudaratan dalam talian.
Persidangan bertemakan Shaping the Next Digital Era: Regulation, Resilience and Trust itu menghimpunkan lebih 500 peserta serta 40 penceramah dari Malaysia, ASEAN dan pelbagai negara bagi membincangkan isu berkaitan keselamatan dan penipuan dalam talian, kecerdasan buatan (AI), perlindungan data, keselamatan siber serta akauntabiliti platform digital.
Terdahulu, Datuk Seri Fahmi melancarkan IRC 2026 yang turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching serta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah di sebuah hotel di ibu negara.