Larian Cergas Parlimen diperluas ke 222 kawasan Parlimen

Tan Sri Johari Abdul/ RTM

KUALA LUMPUR, 21 Julai- Program Larian Cergas Parlimen akan diperluaskan ke semua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara secara berfasa selepas pelancaran peringkat kebangsaan di Bangunan Parlimen di sini pada 25 Julai ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program dipimpin oleh Ahli Parlimen dengan penglibatan masyarakat untuk membudayakan amalan gaya hidup sihat.
  • Jumlah keseluruhan jarak larian dicantumkan berpotensi mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records atau rekod dunia.
  • Larian sejauh 5 km bermula dan berakhir di Parlimen, melalui beberapa lokasi termasuk Tugu Negara; pendaftaran boleh dibuat dalam talian.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata program itu akan diterajui Ahli Parlimen di kawasan masing-masing dengan penglibatan masyarakat setempat bagi membudayakan amalan gaya hidup sihat.

“Selepas ini, semua Parlimen akan turut serta. Sebanyak 222 kawasan Parlimen akan terlibat secara berfasa dan tidak semestinya dilaksanakan serentak,” katanya ketika ditemui RTM di konti Radio Klasik, Angkasapuri, di sini, hari ini.

Menurut Tan Sri Johari, jumlah keseluruhan jarak larian dari semua kawasan Parlimen terlibat akan dihimpunkan bagi melihat potensi program itu untuk dicatat dalam Malaysia Book of Records.

“Kita akan tengok akhir sekali jumlah keseluruhan kelarian itu, ia mungkin menjadi satu rekod sama ada Malaysia Book of Records atau rekod dunia,” katanya lagi.

Katanya, program itu bukan sahaja memberi penekanan terhadap kecergasan fizikal, malah menjadi platform mengeratkan hubungan antara Ahli Parlimen dengan masyarakat serta menyemarakkan semangat perpaduan menjelang sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Beliau turut menyeru semua Ahli Parlimen memastikan pelaksanaan program berkenaan di kawasan masing-masing bagi menggalakkan penyertaan masyarakat secara menyeluruh.

Larian sejauh lima kilometer (km) itu akan bermula di hadapan Parlimen Malaysia dan melalui beberapa kawasan termasuk Tugu Negara sebelum berakhir di Parlimen.

Orang ramai yang berminat menyertai acara ini boleh mendapatkan maklumat lanjut serta membuat pendaftaran melalui pautan https://getbiib.com/events/1689.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.