Pindaan Akta Kanak-kanak 2001, diteliti, UNCRC kemuka 159 syor

KPWKM menilai keperluan untuk memperjelas fungsi dan kuasa setiap pihak yang terlibat dalam pengurusan kes kanak-kanak / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Pindaan Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) yang berasaskan 159 syor yang dikemukakan Jawatankuasa Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNCRC), sedang diteliti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • 159 syor UNCRC dikemukakan untuk pindaan Akta Kanak-kanak 2001, menekankan penambahbaikan perundangan dan perlindungan kanak-kanak.
  • Penelitian melibatkan pelbagai kementerian dan pihak berkepentingan kerana skop dan bidang kuasa agensi berbeza.
  • KPWKM akan memperjelas fungsi dan kuasa agensi, serta memperkukuh penyelarasan untuk intervensi dan perkhidmatan lebih responsif kepada kanak-kanak.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri ketika memaklumkan kepada Sidang Dewan Negara berkata syor yang diterima menerusi Concluding Observations itu merangkumi pelbagai aspek termasuk penambahbaikan kerangka perundangan, perlindungan daripada penderaan serta pelaksanaan hak kanak-kanak secara lebih menyeluruh.

“Penelitian tidak akan dilaksanakan KPWKM secara bersendirian, sebaliknya turut melibatkan kementerian serta pelbagai pihak berkepentingan memandangkannya menyentuh skop dan bidang kuasa pelbagai agensi.

“KPWKM juga akan menilai keperluan untuk memperjelas fungsi dan kuasa setiap pihak yang terlibat dalam pengurusan kes kanak-kanak, di samping memperkukuh penyelarasan antara agensi agar intervensi dan perkhidmatan yang disediakan lebih responsif serta memenuhi keperluan kanak-kanak,”katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Pele Peter Tinggom.

Pada Januari lepas, Datuk Seri Nancy telah mengetuai delegasi merentas sektor peringkat tinggi Malaysia ke Sesi Dialog Konstruktif Laporan Berkala Kedua hingga Keempat mengenai Pelaksanaan Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) di Geneva, Switzerland.

Sesi disertai pelbagai agensi merangkumi Jabatan Peguam Negara, Kementerian Pendidikan , Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.