
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Hampir 161,000 penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah serta Sarawak menerima manfaat menerusi Perkhidmatan Klinik Bergerak (PKB) yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM).
- PKB memberi manfaat kepada hampir 66,000 penduduk Sabah melalui lawatan ke 416 lokaliti.
- Di Sarawak, hampir 95,000 penduduk menerima perkhidmatan PKB di 1,031 lokaliti.
- KKM memberi tumpuan kepada perancangan sumber manusia, perolehan aset, pembangunan infrastruktur dan naik taraf kemudahan kesihatan.
- KKM menyediakan telekonsultasi di 34 Klinik Kesihatan Sabah dan 48 Klinik Kesihatan Sarawak untuk perluasan pendigitalan perkhidmatan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib, berkata sehingga kini hampir 66,000 penduduk di Sabah mendapat manfaat hasil lawatan PKB di 416 lokaliti.
Manakala di Sarawak, hampir 95,000 penduduk menerima perkhidmatan itu menerusi 1,031 lokaliti.
Hanifah berkata, KKM akan terus memberi tumpuan kepada perancangan sumber manusia, perolehan aset, pembangunan infrastruktur serta kerja menaik taraf kemudahan kesihatan di negeri itu.
Inisiatif itu bagi memastikan akses dan ekuiti perkhidmatan kesihatan terus dipertingkatkan, khususnya di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, sehingga kini sebanyak 427 fasiliti kesihatan primer beroperasi di kawasan luar bandar dan pedalaman kedua-dua negeri itu.
“Saya sendiri sedang melaksanakan Inisiatif Jelajah Kesihatan Borneo sejak awal tahun ini bagi menilai secara dekat kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat Sabah dan Sarawak supaya berada pada tahap optimum,” katanya.
Beliau berkata, jelajah itu merangkumi beberapa lokasi termasuk Tuaran, Putatan dan Penampang di Sabah, selain Kuching, Kota Samarahan, Miri dan Mukah di Sarawak.
Dalam pada itu, Hanifah berkata KKM turut menyediakan perkhidmatan telekonsultasi di 34 Klinik Kesihatan di Sabah dan 48 Klinik Kesihatan di Sarawak.
Langkah itu sebagai sebahagian usaha memperluaskan pendigitalan perkhidmatan kesihatan di kedua-dua negeri.