
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh usaha membanteras sindiket penipuan dalam talian melalui operasi bersepadu, penguatkuasaan berterusan serta kerjasama strategik bersama pelbagai agensi.
- PDRM melaksanakan 44,603 operasi jenayah dalam talian dan menahan 45,722 individu dari 2024 hingga Jun 2026.
- Kadar pemulangan dana oleh NSRC meningkat ketara, dari 7 peratus pada 2024 kepada 57 peratus hingga Jun 2026.
- Kerjasama PDRM dengan BNM, SKMM, institusi kewangan dan eFSA mempercepatkan pembekuan akaun serta siasatan kes penipuan dalam talian.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, dari tahun 2024 hingga Jun 2026, PDRM telah melaksanakan sebanyak 44,603 operasi berkaitan jenayah dalam talian dan menahan seramai 45,722 individu.
Beliau berkata, keberkesanan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) turut menunjukkan peningkatan apabila kadar pemulangan dana kepada mangsa meningkat daripada tujuh peratus pada 2024 kepada 57 peratus sehingga Jun 2026.
“Dari tahun 2024 hingga Jun 2026, PDRM telah merekodkan sebanyak 44,603 operasi yang melibatkan jenayah dalam talian dan menangkap seramai 45,722 orang.
“Pada tahun 2024, jumlah tangkapan direkodkan seramai 14,547 orang, meningkat kepada 20,292 orang pada tahun 2025 dan 10,883 orang bagi tahun 2026 sehingga Jun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman pada sesi Pertanyaan Lisan Dewan Negara di Parlimen.
Beliau berkata, pada 2024, NSRC berjaya menyita sebanyak RM7.01 juta dan memulangkan RM508,479.39 atau tujuh peratus daripada jumlah tersebut kepada mangsa.
Bagi tahun 2025 pula, sebanyak RM17.49 juta berjaya disita dengan RM6.65 juta atau 38 peratus dipulangkan kepada mangsa. Sehingga Jun 2026, NSRC merekodkan jumlah sitaan sebanyak RM7.29 juta dengan RM4.12 juta atau 57 peratus berjaya dikembalikan kepada mangsa.
Menurut beliau, kerjasama antara PDRM, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), institusi kewangan serta penggunaan Portal e-Financial Service Act (eFSA) turut membantu mempercepatkan tindakan pembekuan akaun dan siasatan kes penipuan dalam talian.